Pemerintahan beraja

Pemerintahan beraja atau Monarki (dari bahasa Yunani "monos archein", bermaksud "satu pemerintah") merupakan sejenis kerajaan di mana Raja menjadi ketua negara. Monarki atau sistem pemerintahan beraja adalah sistem tertua di dunia. Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20. Manakala pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara mempunyai raja atau monarki yang mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan.

Perbezaan diantara Raja dengan Presiden sebagai Ketua Negara adalah Raja menjadi Ketua Negara sepanjang hayatnya, manakala Presiden biasanya memegang jawatan ini buat jangkamasa yang tertentu. Namun dalam negara-negara persekutuan seperti Malaysia, Raja atau Agong hanya berkuasa selama 5 tahun dan akan digantikan dengan raja dari negeri lain dalam persekutuan. Dalam zaman sekarang, konsep monarki mutlak hampir tidak wujud lagi dan kebanyakannya adalah raja berperlembagaan, iaitu raja yang terhad kuasanya oleh perlembagaan. Monarki juga merujuk kepada orang atau institusi yang berkaitan dengan Raja atau kerajaan di mana raja berfungsi sebagai ketua eksekutif.

Monarki demokratik atau dalam bahasa Inggeris Elective Monarchy, adalah berbeza dengan konsep raja yang sebenarnya. Pada kebiasaannya raja itu akan mewarisi takhtanya (hereditary monarchies). Tetapi dalam sistem monarki demokratik, takhta raja akan bergilir-gilir di kalangan beberapa sultan. Malaysia misalnya, mengamalkan kedua-dua sistem iaitu raja berpelembagaan serta monarki demokratik.

Bagi kebanyakan negara, Raja merupakan simbol kesinambungan serta kedaulatan negara tersebut. Selain itu, raja biasanya ketua agama serta Panglima Besar angkatan tentera sesebuah negara. Contohnya di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam, manakala di United Kingdom dan negara di bawah naungannya, Ratu Elizabeth II adalah ketua agama Kristian Protestan.

Selain Raja, terdapat beberapa jenis pemerintah yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas seperti Maharaja dan Kalifah.

World Monarchies
  •      Raja mutlak
  •      Raja separuh berperlembagaan
  •      Raja berperlembagaan
  •      Alam Komanwel (raja berperlembagaan dalam kesatuan peribadi)
  •      Raja subnegara (tradisional)
  • Perbahasan menyokong dan menentang monarki

    Perbahasan menyokong

    Beberapa sebab menyokong monarki adalah:

    • Raja berkemungkinan lebih baik dari presiden yang dipilih kerana beliau telah dilatih sejak kecil untuk memimpin.
    • Perbelanjaan mengekalkan sistem raja mungkin lebih murah dari republik yang terpaksa berbelanja besar untuk pilihanraya presiden, rumah, pencen dan perkara lain bagi presiden dan bekas presiden.
    • Persaingan dan kritik selalunya ditujukan ke atas presiden kerana beliau adalah pegawai yang dilantik. Ini mungkin boleh memalukan negara.
    • Presiden adalah ahli anggota parti politik yang mungkin bersikap bias sedangkan raja tidak mewakili mana-mana parti politik serta bersikap neutral.
    • Presiden harus bertindak mengikut polisi parti dan penyokongnya tetapi raja lebih bebas.
    • Raja lebih baik untuk dijadikan simbol perpaduan nasional daripada presiden.
    • Dalam sebuah republik pertukaran ketua kerajaan menyebabkan suasana tidak menentu politik. Sistem raja pula lebih stabil dan melambangkan kesinambungan pemerintahan. Contohnya kekacauan dan peperangan saudara di Perancis, Jerman, Rusia dan China apabila mereka menghapuskan sistem beraja.

    Perbahasan menentang

    Beberapa sebab menentang monarki:

    • Sistem monarki melambangkan keistimewaan, ketamakan dan exploitasi.
    • Setiap masyarakat mempunyai hak untuk melantik ketua negara dan ketua negara adalah bertanggungjawab kepada rakyat.
    • Setiap manusia dilahirkan sama rata sedangkan raja dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai kuasa tanpa perlu berusaha.
    • Kuasa prerogatif raja boleh digunakan untuk menghalang proses demokratik tanpa perlu rasa bertanggungjawab.
    • Sistem raja yang diwaris menyebabkan kanak-kanak yang dilahirkan sebagai putera raja tidak dapat menjalani kehidupan normal seterusnya tidak dapat berfungsi sebagai ketua kerajaan yang baik.
    • Dalam beberapa kes, sistem monarki dikaitkan dengan fahaman fasis dan diktator. Di Itali misalnya, sistem raja dimansuhkan kerana Raja Victor Emmanuel III menyokong regim fasis Mussolini pada tahun 1946.

    Sumber

    • "Darjat tidak datang bergolek", Utusan Online, 15 Februari 2005

    Lihat juga

    Bacaan lanjut

    1. Diana ramal kejatuhan monarki British

    Pautan luar

    Dominion

    Dominion (atau jajahan takluk) ialah politi-politi separa merdeka di bawah Mahkota British, yang membentuk Empayar British, bermula dengan Pergabungan Kanada pada 1867. Politi tersebut termasuklah Kanada, Australia, New Zealand, Newfoundland, Afrika Selatan, Negara Bebas Ireland dan kemudiannya dari lewat 1940-an iaitu India, Pakistan dan Ceylon (kini Sri Lanka). Pengisytiharan Balfour 1926 mengiktiraf Dominion sebagai "komuniti-komuniti autonomi dalam Empayar British" dan Statut Westminster 1931 mengesahkan kebebasan perundangan penuh mereka.

    Penggunaan awal dominion merujuk kepada wilayah tertentu pada abad ke-16 dan telah digunakan untuk menerangkan Wales dari tahun 1535 hingga 1801 dan Dominion New England di antara 1686 hingga 1689.

    Kedaulatan

    Kedaulatan ialah hak eksklusif untuk menguasai sepenuhnya sesebuah kawasan pentadbiran, rakyat, atau diri sendiri. Seseorang yang berdaulat (contoh: raja) ialah pihak penggubalan undang-undang yang agung, dan tidak menurut perintah sesiapa yang lain. Jean-Jacques Rousseau, dalam Buku III, Bab III wacana tahun 1763 beliau yang bertajuk Mengenai Kontrak Sosial, membincangkan bahawa "pertumbuhan Negeri yang memberi pemegang amanah pihak berkuasa awam lebih banyak nafsu dan cara untuk menyalah guna kuasa mereka, lebih banyak Kerajaan perlu memegang kuasa untuk mengawal rakyat, lebih banyak kuasa yang perlu dimiliki Raja untuk mengawal Kerajaan," dengan pemahaman bahawa Raja ini ialah "satu kewujudan bersama" (Buku II, Bab I) hasil "kehendak umum" rakyat, dan bahawa "apa yang diarahkan seseorang itu sendiri, tanpa mengira siapa dia, itu bukan undang-undang" (Buku II, Bab VI) - dan lebihan pula berdasarkan anggapan bahawa rakyat menggunakan cara yang tidak berat sebelah untuk memastikan kehendak awam. Maka bak pepatah undang-undang, "tiada undang-undang tanpa raja."

    Kemahkotaan

    Kemahkotaan atau pertabalan ialah satu upacara yang menandakan pemberian kuasa diraja kepada seorang raja melalui, salah satu caranya, perletakan mahkota di atas kepalanya. Kemahkotaan merupakan norma biasa perlantikan rasmi raja di Alam Komanwel.

    Maharaja Jepun

    Maharaja Jepun (天皇, tennō, bahasa Jepun: "raja dari syurga", etimologi tidak diketahui ) ialah raja serta ketua negara Jepun. Beliau merupakan ketua kerabat diraja Jepun. Dalam Perlembagaan Jepun, Maharaja merupakan "simbol negara dan kesatuan rakyat" dan merupakan ketua adat dalam sistem raja berperlembagaan. Baginda juga menjadi lembaga tertinggi agama Shinto kerana baginda dan keluarganya dikatakan merupakan keturunan langsung Amaterasu.Maharaja Jepun dipanggil Tennō (天皇) dalam bahasa Jepun, yang bermakna "raja dari syurga". Di luar Jepun, baginda juga dipanggil Mikado (帝) dari Jepun. Ketika ini, Maharaja Jepun ialah satu-satunya raja yang memerintah di dunia kini yang menggunakan gelaran "Maharaja".

    Kerabat diraja Jepun ialah raja warisan berterusan yang tertua di dunia. Dalam Kojiki atau Nihon Shoki, disebutkan bahawa Empayar Jepun diasaskan pada 660 SM oleh Maharaja Jimmu. Maharaja semasa ialah Naruhito, yang telah bersemayam di Takhta Bunga Kekwa selepas ayahandanya, Akihito turun takhta pada 30 April 2019

    Monarki Habsburg

    Monarki Habsburg merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh dinasti Habsburg dari Austria, dan kemudian diikuti oleh dinasti Habsburg-Lorraine, antara tahun 1745 dan 1867/1918. Ibukotanya adalah Vienna (bermula pada tahun 1583 sehingga tahun 1611 di Praha). Bermula pada tahun 1804 sehingga 1867, monarki ini dikenali sebagai Empayar Austria dan dari 1867 sehingga 1918 sebagai Empayar Austria-Hungary.

    Monarkisme

    Monarkisme adalah advokasi raja atau pemerintahan beraja. Seorang monarkis atau pendukung sistem pemerintahan beraja adalah individu yang menyokong bentuk kerajaan ini, tidak terikat dengan raja tertentu; kerana seseorang yang menyokong raja tertentu digelar seorang royalis atau setiaraja. Sebaliknya, pembangkang untuk pemerintahan monarki kadang-kadang disebut sebagai republikanisme.

    Bergantung kepada negara, seorang monarkis boleh menyokong untuk pemerintahan seseorang yang duduk di atas takhta, seorang pengaku, atau seseorang yang akan menduduki takhta tetapi digulingkan.

    Pemangku raja

    Pemangku Raja ialah istilah yang digunakan oleh seseorang yang memegang kuasa raja sebagai wakilnya sama ada ketika ketiadaan raja, ketika raja sedang sakit atau raja masih belum dewasa. Tugas raja juga boleh dipegang oleh satu majlis yang dipanggil majlis pemangku raja atau jemaah pangkuan diraja yang dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik oleh raja. Pemangku raja akan mempunyai semua kuasa yang diperuntukkan kepada raja dan boleh digunakan bila-bila masa. Kebiasaannya pemangku raja ialah putera atau saudara kepada raja yang sedang bertakhta.

    Pemerintahan beraja Kanada

    Pemerintahan beraja Kanada atau monarki Kanada (Bahasa Inggeris: Monarchy of Canada; Bahasa Perancis: Monarchie canadienne) ialah teras bagi kedua-dua struktur persekutuan Kanada serta demokrasi parlimen dan perlembagaan yang berdasarkan sistem Westminster. Ia adalah asas kepada cabang-cabang eksekutif (Ratu-dalam-Majlis), perundangan (Ratu-dalam-Parlimen) dan kehakiman di dalam bidang kuasa persekutuan dan provinsi. Ratu/raja terkini Kanada ialah Baginda Ratu Elizabeth II, yang telah memerintah sejak 6 Februari 1952. Anakanda sulung baginda Putera Charles merupakan pewaris seterusnya.

    Walaupun baginda ratu/raja dikongsi secara bersama dengan 15 negara merdeka yang lain di dalam kalangan negara Komanwel, setiap pemerintahan beraja di negara tersebut adalah berasingan dan secara undang-undangnya berbeza. Hasilnya, baginda secara rasminya digelar sebagai Ratu Kanada (atau Raja Kanada) dan dalam kapasiti ini, baginda, suaminya dan ahli kerabat diraja Kanada yang lain menjalankan fungsi-fungsi awam dan persendirian di dalam dan luar negara sebagai wakil Kanada. Walau bagaimanapun, Ratu adalah satu-satunya ahli kerabat yang mempunyai peranan dalam perlembagaan. Walaupun sesetengah bidang kuasa hanya boleh dijalankan oleh baginda (seperti melantik gabenor jeneral), kebanyakan tugas-tugas upacara dan istiadat (seperti memanggil Dewan Rakyat dan melantik duta) dijalankan oleh wakil baginda, Gabenor Jeneral Kanada. Wakil Ratu bagi setiap provinsi diwakili oleh leftenan gabenor. Disebabkan wilayah berada di bawah bidang kuasa persekutuan, setiap daripadanya mempunyai pesuruhjaya, yang mewakili Mahkota-dalam-Majlis secara terus.

    Pemerintahan beraja United Kingdom

    Monarki United Kingdom, biasanya dirujuk sebagai monarki British, raja British atau raja United Kingdom adalah raja berperlembagaan United Kingdom dan wilayah di luar negara. Gelaran raja adalah "King" ("Raja" bagi lelaki) atau "Queen" ("Ratu" bagi wanita). Monarki dan ketua negara terkini, Ratu Elizabeth II, menaiki takhta ketika kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.

    Monarki dan atau kerabat terdekat baginda menjalankan pelbagai tugas rasmi, adat istiadat, diplomatik dan perwakilan. Memandangkan monarki adalah perlembagaan, monarki adalah terhad kepada fungsi berkecuali seperti penganugerahan darjah kebesaran dan perlantikan Perdana Menteri. Monarki, mengikut tradisi, Panglima Agung Angkatan Tentera British. Walaupun kuasa muktamad eksekutif formal ke atas kerajaan di United Kingdom masih oleh dan melalui hak mutlak diraja raja itu, kuasa-kuasa ini hanya boleh digunakan mengikut undang-undang yang digubal di Parlimen dan, dalam amalan, dalam kekangan konvensyen dan duluan.

    Monarki British dijejaki asal-usulnya daripada kerajaan kecil awal zaman pertengahan Scotland dan England Anglo-Saxon, yang disatukan ke dalam kerajaan England dan Scotland pada abad ke-10. Pada 1066, raja Anglo-Saxon yang terakhir dinobatkan, Harold II, ditewaskan dan dibunuh semasa penaklukan England oleh Norman dan monarki Inggeris diserahkan kepada pemimpin Norman yang menang, William si Penakluk, dan keturunannya.

    Pada abad ke-13, Wales, sebagai wilayah raja, menjadi negara pelanggan Kerajaan Inggeris, manakala Magna Carta memulakan proses mengurangkan kuasa politik Raja Inggeris.

    Dari 1603, apabila raja Scotland Raja James VI mewarisi takhta Inggeris sebagai James I, kedua-dua kerajaan Inggeris dan Scotland telah diperintah oleh seorang Pemerintah. Dari 1649 hingga 1660, tradisi pemerintahan beraja telah dipecahkan oleh republik Komanwel England, yang diikuti Perang Tiga Kerajaan. Akta Penyelesaian 1701, yang masih berkuat kuasa, mengecualikan penganut roman Katolik, atau mereka yang mengahwini penganut Katolik, dari pewarisan takhta Inggeris. Pada 1707, kerajaan England dan Scotland telah digabungkan untuk mewujudkan Kerajaan Great Britain, dan pada tahun 1801, Kerajaan Ireland bergabung untuk mewujudkan Kerajaan Bersatu Britain Raya dan Ireland. Monarki British menjadi ketua nominal Empayar British yang luas, yang merangkumi satu perempat daripada permukaan dunia pada tahap yang paling besar pada tahun 1921.

    Dalam tahun 1920, lima perenam daripada Ireland menarik diri daripada Kesatuan sebagai Negara Bebas Ireland, dan Pengisytiharan Balfour mengiktiraf evolusi kekuasaan empayar kepada negara-negara berasingan yang ditadbir sendiri dalam Negara-Negara Komanwel. Selepas Perang Dunia Kedua, sebahagian besar tanah jajahan dan wilayah British telah merdeka, menandakan berakhirnya empayar British. George VI dan penggantinya, Elizabeth II, menerima pakai gelaran Ketua Komanwel sebagai lambang persatuan negara-negara anggota yang bebas.

    United Kingdom dan lima belas monarki Komanwel yang lain berkongsi orang yang sama sebagai raja mereka yang dipanggil negara Komanwel. Istilah Monarki British dan raja British masih sering digunakan merujuk kepada individu dan institusi yang dikongsi itu; walau bagaimanapun, setiap negara adalah berdaulat dan merdeka, dan raja mempunyai gelaran dan panggilan negara yang berbeza, khusus, dan rasmi bagi setiap negara.

    Pewaris takhta

    Pewaris takhta atau waris ganti ialah orang, lelaki atau perempuan, yang pertama dalam susunan pewarisan dan tidak boleh dipindahkan dari mewarisi dengan kelahiran orang lain.

    Bakal pewaris (Heir presumptive), sebaliknya, adalah orang yang pertama dalam barisan untuk mewarisi gelaran tetapi boleh digantikan oleh kelahiran waris yang lebih layak.

    Hari ini istilah-istilah yang sering menggambarkan pewaris gelaran keturunan, terutamanya pemerintahan beraja. Ia juga digunakan secara metafora untuk menunjukkan seseorang pengganti "yang terpalit" dengan mana-mana jawatan penting, contohnya, seorang pemimpin politik atau korporat.

    Frasa ini kadang-kadang hanya digunakan sebagai gelaran, di mana ia biasanya ditulis dengan huruf besar ("Pewaris Takhta"). Kebanyakan raja memberi (atau melantik) pewaris gelaran sebagai Putera Mahkota atau gelaran yang lebih khusus, seperti Putera Orange di Belanda, Putera Asturias di Sepanyol, atau Putera Wales di United Kingdom. Di Perancis gelaran ini adalah le Dauphin. Lihat putera mahkota untuk lebih banyak contoh.

    Artikel ini pada awalnya menerangkan istilah pewaris takhta dalam sistem keturunan yang dikawal selia oleh undang-undang anak yg sulung sebagai bertentangan dengan kes di mana raja mempunyai suara dalam menamakan waris.

    Putera

    Dalam sistem monarki, putera atau putra ialah ahli lelaki kerabat diraja selain raja, terutamanya anakanda raja atau suami kepada puteri. Anakanda perempuan raja pula dipanggil puteri. Perkataan bahasa Melayu "putera" berasal daripada perkataan bahasa Sanskrit yang bererti "anak lelaki".

    Perkataan "putera" juga dipakai untuk merujuk kepada seorang lelaki yang muda usianya atau seolah-olah baru dalam sesuatu bidang, tetapi mahir dalam bidang tersebut. Contohnya, siri animasi Putera Tenis mengisahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menunjukkan bakat yang mengagumkan dalam tenis.

    Raja berperlembagaan

    Raja berperlembagaan (Tulisan Jawi: راج ڤرلمباݢاءن)adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf Raja sebagai ketua negara.. Raja berperlembagaan yang moden biasanya menggunakan konsep trias politica, atau politik tiga serangkai. Ini bermaksud Raja adalah hanya ketua simbolik di dalam rangkai eksekutif dan kuasanya adalah terhad oleh perlembagaan negara. Apabila seorang Raja mempunyai kuasa pemerintahan yang penuh ia dipanggil monarki mutlak atau absolute monarchy.

    Pada hari ini, raja berperlembagaan lazimnya digabungkan dengan perwakilan demokrasi. Oleh itu, kerajaan masih dibawah kuasa rakyat tetapi raja mempunyai peranan tradisional di dalam sesebuah negara. Pada hakikatnya Perdana Menteri, iaitu pemimpin yang dipilih oleh rakyat, yang memerintah negara dan bukannya Raja. Namun demikian, terdapat juga Raja yang bergabung dengan kerajaan yang tidak demokratik. Misalnya, sewaktu Perang Dunia II, raja Jepun bergabung dengan kerajaan tentera yang dipimpin seorang diktator.

    Sesetengah Raja berperlembagaan adalah berlandaskan Sistem Perwarisan atau mewarisi takhta; manakala yang lain, adalah melalui sistem demokratik seperti di Malaysia di mana Yang di-Pertuan Agong adalah dipilih oleh Majlis Raja-Raja setiap lima tahun.

    Raja elektif

    Raja elektif secara harfiahnya merujuk kepada kerajaan diperintah oleh seseorang yang dipilih berbeza dengan raja keturunan, Cara pencalonan dan pemilihan berbeza mengikut keadaan. Adalah tidak menjadi mustahil untuk sebuah kerajaan elektif bertukar menjadi kerajaan keturunan setelah beberapa kurun. Antara contoh kerajaan elektif pada hari ini adalah seperti Malaysia, Kemboja dan Kota Vatican.

    Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.

    Raja mutlak

    Monarki Mutlak merupakan bentuk kerajaan yang unggul bahawa seseorang Raja itu mempunyai kuasa penuh untuk memerintah negaranya. Berbeza dengan sistem raja berperlembagaan iaitu Perdana Menteri merupakan ketua eksekutif negara, jawatan ini memainkan peranan kurang penting di dalam kerajaan monarki mutlak. Malah di sesetengah negara seperti Arab Saudi dan Brunei, raja juga akan memegang jawatan Perdana Menteri.

    Rom kuno

    Rom kuno merupakan sebuah peradaban yang bertumbuh daripada sebuah komuniti pertanian yang kecil yang diasaskan di Semenanjung Itali pada sekitar abad ke-9 SM. Dalam tempoh dua belas abad kewujudannya, peradaban Rom beralih daripada sebuah pemerintahan beraja kepada sebuah republik berasaskan gabungan oligarki serta demokrasi, dan kemudian menjadi sebuah empayar autokratik yang besar. Empayar Rom menguasai Eropah Barat dan seluruh kawasan yang mengelilingi Laut Mediterranean melalui penaklukan dan asimilasi.

    Empayar Rom akhirnya merosot. Bahagian separuh barat empayar itu, termasuk Hispania, Gaul, dan Itali, berpisah menjadi kerajaan-kerajaan yang merdeka pada abad ke-5. Empayar timur yang diperintah dari Constantinople biasanya dirujuk sebagai Empayar Byzantine selepas tahun 476, tarikh tradisi untuk 'kejatuhan Rom' dan permulaan Zaman Pertengahan Awal yang juga dikenali sebagai Zaman Kelam.

    Peradaban Rom seringnya digolongkan ke dalam "baharian klasik" bersama-sama dengan Yunani, sebuah peradaban yang banyak mengilhami kebudayaan Rom Kuno. Rom Kuno banyak menyumbangkan kepada perkembangan undang-undang, peperangan, seni, kesusasteraan, seni bina, teknologi, dan bahasa di dunia Barat, dengan sejarahnya masih amat mempengaruhi dunia pada hari ini.

    Serbia

    Serbia, secara rasminya Republik Serbia (Serbia: Република Србија Republika Srbija), adalah negara dikelilingi daratan di Eropah tengah dan tenggara yang meliputi kawasan pertengahan Semenanjung Balkan dan kawasan Dataran Pannonian. Ibu negaranya Belgrade. Serbia menyempadani:

    Hungary di utara;

    Romania dan Bulgaria di timur;

    Republik Macedonia dan Albania, serta Kosovo di selatan; dan

    Montenegro, Croatia, dan Bosnia dan Herzegovina di barat.Selama hampir seabad, Serbia adalah sebahagian daripada pelbagai negeri Slavik Selatan, termasuk Pemerintahan Beraja Serbia, Croatia dan Slovene dari 1918 hingga 1941 (dinamai semula sebagai Pemerintahan Beraja Yugoslavia pada 1929), Persekutuan Sosialis Republik Yugoslavia dari 1945 hingga 1992, Persekutuan Republik Yugoslavia dari 1992 hingga 2003, dan Kesatuan Negeri Serbia dan Montenegro dari 2003 hingga 2006. Selepas Montenegro mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Negeri, Serbia mengisytiharkan kemerdekaannya secara rasmi pada 5 Jun 2006, sebagai negeri pengganti kepada Kesatuan Negeri Serbia dan Montenegro. Pada 15 Jun 2006, Serbia mengiktiraf kemerdekaan Montenegro.

    Turun takhta

    Turun takhta ialah tindakan seseorang pemerintah monarki, seperti raja atau maharaja, meletakkan jawatan serta kuasanya. Tindakan ini dilakukan semasa si pemerintah masih hidup, dan biasanya takhta akan diserahkan kepada orang lain, pewarisnya mahupun penakluk. Penurunan takhta kepada waris boleh berlaku apabila si pemerintah merasakan dirinya sudah tidak mampu untuk memerintah negaranya.

    Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.

    Wangsa Windsor

    Wangsa Windsor (Inggeris: House of Windsor) merupakan wangsa diraja bagi alam Komanwel. Ia diasaskan oleh George V melalui pengisytiharan diraja pada 17 Julai 1917, apabila baginda menukar nama kerabatnya daripada Sachsen-Coburg dan Gotha (cabang daripada Wangsa Wettin) kepada Wangsa Windsor. Ini disebabkan oleh sentimen anti Jerman di United Kingdom ketika Perang Dunia Pertama. Pada masa kini, ahli wangsa ini yang paling terkenal adalah Ratu Elizabeth II yang kini memerintah alam Komanwel.

    Wizurai

    Wizurai (viceroy) adalah seorang pegawai diraja yang menguruskan sesebuah negara, tanah jajahan, atau wilayah bandar (atau negeri) atas nama dan sebagai wakil raja. Istilah viceroy berasal dari awalan Latin vice- [vi-sé] bermaksud "di tempat" dan perkataan Perancis roi iaitu "raja". Sebuah wilayah wizurai atau wilayah yang lebih besar boleh dipanggil kewizuraian.

    Pemerintahan beraja
    Mengikut benua
    Mengikut negara
    Mengikut jenis

    Dalam bahasa lain

    This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
    Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
    Images, videos and audio are available under their respective licenses.