Pembinasa peluru berpandu

Pembinasa peluru berpandu merujuk pada sebuah kapal pembinasa yang direka untuk melancarkan peluru berpandu. Kebanyakannya juga dilengkapi dengan peralatan untuk melaksanakan operasi-operasi peperangan anti kapal selam, anti udara dan anti permukaan. Designasi standard NATO untuk kapal jenis ini adalah DDG. Terdapat perbezaan antara negara yang menggunakan designasi D pada nombor pennantnya, sama ada menambah awalan atau menggugurkannya. Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan klasifikasi DDG pada sistem penggelasan badan bagi kapal pembinasanya.

Selain meriam, sebuah kapal pembinasa juga biasanya akan dilengkapi dengan dua buah kelopak peluru berpandu yang besar di dalam sel pelancaran menegak. Beberapa pembinasa mengandungi sistem-sistem radar berkuasa, seperti Sistem Tempur Aegis milik Amerika Syarikat, dan mungkin digunakan dalam peranan pertahanan peluru berpandu balistik atau anti peluru berpandu. Keadaan ini adalah benar bagi sesebuah pasukan tentera laut yang tidak lagi menggunakan penjajap, oleh itu kapal-kapal lain mesti diterima pakai untuk menutup kekangan.

SM3 from JDS Kongo
Kapal pembinasa peluru berpandu milik Jepun, Templat:JDS melepaskan sebuah peluru berpandu anti balistik Standard Missile 3.

Rujukan

  • Friedman, Norman (2004). US Destroyers: An Illustrated Design History (Revised Edition). Annapolis: Naval Institute Press. ISBN 1-55750-442-3.
Arleigh Burke

Arleigh Albert Burke (19 Oktober, 1901 – 1 Januari, 1996) adalah seorang laksamana dalam Tentera Laut Amerika Syarikat yang mana menyinar semasa Perang Dunia II dan Perang Korea. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Operasi Tentera Laut semasa pentadbiran presiden Eisenhower dan Kennedy.

USS Arleigh Burke (DDG-51), kapal pertama dari pembinasa peluru berpandu Arleigh Burke yang dilengkapi dengan Sistem Tempur Aegis telah ditauliahkan semasa beliau masih hidup pada tahun 1991 bagi menghargai jasa-jasa beliau.

Bot meriam

Bot meriam (gunboat) adalah sejenis kapal tentera laut yang direka bagi kegunaan cepat membawa satu atau lebih meriam untuk mengebom sasaran pantai, bertentangan dengan kapal perang yang direka untuk peperangan laut, atau untuk mengangkut tentera atau bekalan.

Bot peronda

Bot peronda adalah sejenis kapal tentera laut kecil yang secara umumnya direka bagi tugas-tugas mempertahankan pantai. Terdapat pelbagai rekabentuk bot peronda. Ia mungkin digunakan oleh tentera laut, pengawal pantai atau pasukan polis berkemungkinan untuk tujuan persekitaran marin (perairan terbuka) atau muara atau sungai ("perairan pesisir"). Bot peronda biasanya terlibat dalam pertempuran di dalam pelbagai peranan pertahanan sempadan, termasuk mencegah penyeludupan and pelanunan, rondaan perikanan dan penguatkuasaan undang-undang imigresen. Bot jenis juga sering kali dipanggil bagi melibatkan diri dalam operasi-operasi menyelamat.

Bot peronda boleh dikelaskan secara umumnya kepada Kapal Peronda Pesisir dan Kapal Peronda Luar Pantai.

KRI Diponegoro

KRI Diponegoro (365) merupakan kapal pertama dari kapal perang korvet jenis Pembinasa Peluru Berpandu kelas SIGMA milik TNI-AL. Ia diberi nama sempena Pangeran Diponegoro, salah seorang Pahlawan Nasional yang berjasa melawan Belanda dalam Perang Jawa 1825-1830.

Kapal kelas SIGMA ini ditempah pada 2002 dengan nilai 139 juta Euro menurut laman Detikcom. KRI Diponegoro merupakan sebuah korvet dibina oleh limbungan kapal Tentera Laut Schelde Diraja di Vlissingen, Belanda yang bermula pada tahun 2005 khusus untuk TNI-AL. Kapal dengan panjang 90,71 meter mulai bertugas tahun 2007 ini memiliki sistem perang kapal yang bersepadu. Bertugas sebagai kapal peronda dengan kemampuan anti kapal permukaan, anti kapal selam dan anti pesawat udara.

KRI Diponegoro pernah bertugas dengan pasukan NATO di laut di depan Lebanon seluas 110 x 48 batu berasma-sama pasukan Perancis, Itali, Jerman, Turki, Belgia, dan Greece. KRI Diponegoro berada dalam kelompok kapal utama, yang terdiri dari jenis frigates dan corvettes.

Kapal pembinasa

Kapal pembinasa atau dalam bahasa Inggerisnya Destroyer ialah terminologi tentera laut yang merujuk kepada sejenis kapal perang moden yang mempunyai saiz yang lebih besar dan mampu membawa persenjataan yang lebih banyak serta jauh lebih berat berbanding kapal jenis Frigat.

Kebiasaannya kapal pembinasa mampu bergerak dengan laju dan lincah untuk memberinya kelebihan berbanding kapal jenis lain ketika pertempuran kerana dilengkapi dengan enjin turbin berkuasa gas sebagai pendorong skunder yang boleh diaktifkan apabila perlu.

Kerana saiz dan keupayaannya, jika keadaan mendesak atau terpisah dari kumpulan utama ia mampu bertempur bersendirian menghadapi sebarang bentuk ancaman dalam semua dimensi peperangan maritim skala sederhana seperti peperangan elektronik, udara, permukaan dan bawah permukaan.

Kapal pembinasa juga berkeupayaan berlayar pada jarak yang jauh bagi tujuan untuk mengiringi kapal yang bersaiz besar (seperti Kapal Pembawa Pesawat atau Penangki) dalam sesebuah armada, atau formasi angkatan perang.

Berdasarkan tujuan ia dibina dan keupayaannya, sekumpulan kapal pembinasa (2-3 buah) sering digunakan bagi mempertahankan kapal lain yang lebih besar daripada serangan jarak dekat oleh kapal yang lebih kecil atau memberi naungan perlindungan pertahanan udara serta ancaman daripada kapal selam musuh.

Kapal penjajap kelas Ticonderoga

Kruiser peluru berpandu kelas-Ticonderoga merujuk kepada sebuah kelas kapal perang yang berkhidmat di dalam Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia mula dipesan dan diluluskan dalam tahun kewangan 1978. Kelas ini menggunakan radar jujukan fasa pasif dan asalnya dirancang untuk dibina sebagai sebuah kelas kapal pembinasa. Bagaimanapun, peningkatan keupayaan tempur yang ditawarkan oleh Sistem Tempur Aegis dan sistem radar AN/SPY-1 selain keupayaan untuk beroperasi sebagai sebuah flagship, telah digunakan untuk menjustifikasikan perubahan penggelasannya daripada DDG (pembinasa peluru berpandu) kepada CG (kruiser peluru berpandu) tidak lama sebelum lunasnya dibaringkan untuk kapal Ticonderoga dan Yorktown.

Kapal penyapu ranjau

Kapal penyapu ranjau adalah sebuah kapal perang tentera laut kecil yang direka untuk menentang ancaman yang dihadapi daripada periuk api laut. Kapal penyapu ranjau secara umumnya boleh mengesan kemudian meneutralkan periuk api sebelum melaksanakan kemaraan operasi-operasi tentera laut yang lain.

Kapal serangan amfibia

Kapal serangan amfibia (juga dikenali sebagai pembawa komando atau pembawa serangan amfibia) adalah sejenis kapal perang amfibia yang digunakan bagi mendaratkan dan menyokong pasukan darat di wilayah musuh melalui serangan amfibia. Rekabentuk kapal jenis ini berasal dari kapal pengangkut helikopter, dengan tambahan sokongan untuk kapal pendaratan amfibia. Kebanyakan rekabentuk memiliki dek telaga.

Korvet

Korvet (berasal daripada perkataan Perancis corvair) ialah sebuah kapal perang kecil, ringan dan mudah dikendalikan. Asalnya, ia lebih kecil daripada frigat tetapi lebih besar daripada kapal peronda pantai. Walau bagaimanapun, kebanyakan reka bentuk terkini menyerupai sebuah frigat dari segi saiz dan peranan. Semasa Zaman Pelayaran, sebuah korvet lebih kecil daripada frigat dan lebih besar daripada sloops-of-war dan biasanya mempunyai satu dek meriam. Hampir kesemua tentera laut menggunakan kapal yang lebih kecil daripada frigat bagi tugas-tugas rondaan pantai, akan tetapi tidak kesemua mereka menggunakan istilah korvet atau setandingnya. Pangkat Kapten Korvet diterbitkan daripada nama jenis kapal ini.

Pembinasa Kelas Arleigh Burke

Kapal pembinasa Kelas Arleigh Burke merupakan sebuah kapal pembinasa peluru berpandu, dan salah satu daripada kelas-kelas kapal pembinasa yang terdapat di dalam Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia merupakan kapal pembinasa pertama yang dibina berdasarkan Sistem Tempur Aegis dan radar jujukan fasa pelbagai fungsi SPY-1D. Kapal pertama dari kelas ini telah ditauliahkan pada 4 Julai 1991. Selepas pelucutan tauliah kapal terakhir dari Kelas Spruance, iaitu USS Cushing, pada 21 September 2005, kapal pembinasa Kelas Arleigh Burke menjadi satu-satunya kelas kapal pembinasa yang masih aktif di dalam Tentera Laut A.S.

Kelas ini dinamakan sempenan Laksamana Arleigh "31-Knot" Burke, seorang pegawai kapal pembinasa Amerika Syarikat yang paling terkenal semasa Perang Dunia II. Laksamana Burke masih hidup apabila kapal pertama dari kelas ini ditauliahkan.

Pembinasa kelas Kidd

Pembinasa kelas Kidd merupakan satu siri empat buah kapal pembinasa peluru berpandu (DDG) berdasarkan rekabentuk kelas Spruance. Kidd telah direka sebagai sebuah kapal pelbagai guna yang lebih canggih, berbanding kelas kapal sebelumnya yang lebih berfokus kepada peperangan anti kapal selam, dengan menambah keupayaan anti pesawat yang lebih maju. Asalnya, kapal ini telah dipesan untuk kegunaan Tentera Laut Imperial Iran, sebelum kontraknya dibatalkan apabila meletusnya Revolusi Iran pada tahun 1979, dan kapal-kapal ini disiapkan untuk digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. Di sebabkan ia dilengkapi dengan penyaman udara tugasan berat dan pelbagai ciri-ciri yang lebih sesuai untuk cuaca panas, kapal ini bertujuan untuk digunakan di Timur Tengah, secara spesifiknya di Teluk Parsi. Semasa perkhidmatannya dengan Tentera Laut A.S. bermula pada awal tahun 1980an sehingga penghujung tahun 1990an, kapal-kapal ini popular dengan nama kelas-"Ayatollah". Ia kemudian dilucut tauliahkan dan dijual kepada Tentera Laut Republik China (Taiwan) sebagai kelas-Kee Lung.

Pembinasa kelas Visakhapatnam

Kelas Visakhapatnam (Projek 15B) adalah sebuah kelas kapal pembinasa peluru berpandu halimunan yang kini dalam pembinaan untuk kegunaan Tentera Laut India. Kelas pembinasa ini terdiri daripada 4 buah kapal iaitu - Visakhapatnam, Mormugao, Paradip dan Porbandar; kesemuanya akan dibina oleh Mazagon Dock Limited (MDL) di India, dan akan menjadi kapal pembinasa terbesar yang akan dioperasikan oleh Tentera Laut India.Pembinasa ini merupakan versi dipertingkat ke atas kelas-Kolkata (Projek 15A) dan akan memiliki ciri-ciri halimunan. Kapal pertama dijangka akan mula memasuki perkhidmatan pada tahun 2021.

Pembinasa kelas Zumwalt

Pembinasa kelas-Zumwalt adalah sebuah kelas pembinasa peluru berpandu dalam Tentera Laut Amerika Syarikat yang direka sebagai sebuah kapal halimunan pelbagai pepranan dengan fokus untuk misi serangan darat. Kelas pelbagai peranan keduanya adalah sebagai kapal permukaan dan peperangan anti pesawat. Asalnya, ia telah direka dengan peranan utama untuk memberi sokongan temabkan meriam daripada laut. Ia bertujuan untuk mengantikan tempat kapal tempur. Kapal ini direka berdasarkan dua buah Advanced Gun System, turet dan kelopaknya, serta peluru Peluru Serangan Darat Jarak Jauh (Long Range Land Attack Projectile atau LRLAP) yang unik. Perolehan LRLAP kemudian dibatalkan, disebabkan meriam-meriam yang tidak dapat digunakan, oleh itu pihak tentera laut kemudian menilai semula kapal ini untuk tujuan peperangan permukaan. Rekabentuk kelas ini terhasil berdasarkan program "pembinasa serangan darat" DD-21 atau "DD(X)".

Kapal pertama dari kelas ini dinamakan Zumwalt bersempena dengan nama Laksamana Elmo Zumwalt dan membawa nombor badan DDG-1000. Asalnya, 32 buah kapal dirancang akan dibina, dengan AS$9.6 bilion kos untuk penyelidikan dan pembangunan dibahagikan pada semua kapal. Apabila kos melebihi angaran, jumlahnya diturunkan kepada 24 buah, kemudian 7 buah dan akhirnya 3 buah. Peningkatan kos yang ketara iaitu AS$4.24 bilion bagi setiap kapal (tidak termasuk kos R&D) dan melebihi kos seunit bagi sebuah kapal selam kelas-Virginia berkuasa nuklear (AS$2.688 bilion). Peningkatan kos per unit secara dramatik ini mencetuskan salah laku Pindaan Nunn–McCurdy dan pembatalkan bagi pembinaan seterusnya. Pada April 2016, kos keseluruhan program adalah AS$22.5 bilion, dengan kos purata sebuah kapal adalah AS$7.5 bilion.

Penjajap

Penjajap atau juga dikenali sebagai kruiser, merujuk kepada sejenis kapal perang. Kruiser (daripada bahasa Belanda Kruiser bermakna "sesuatu yang melintas") merupakan sejenis kapal perang besar yang berupaya menangani pelbagai sasaran secara serentak. Dari segi sejarah, ia dianggap sebagai sebuah kapal terkecil yang berupaya beroperasi secara bebas — berlawanan dengan sebuah kapal pembinasa biasanya memerlukan sokongan luar seperti bot sokongan — tetapi dalam konteks moden kelainan ini telah lenyap. Dalam peperangan moden kapal penjajap hampir lenyap, digantikan dalam semua peranan oleh kapal pembinasa.

Sistem pelancaran menegak

Sistem pelancaran menegak (Vertical Launching System atau VLS) adalah sebuah sistem termaju untuk menyimpan dan melancarkan peluru berpandu di atas pelantar-pelantar laut bergerak, seperti kapal permukaan dan kapal selam. Setiap sistem pelancaran menegak mengandungi sejumlah sel-sel, yang mana boleh menyimpan sebuah atau lebih peluru berpandu yang tersedia untuk dilancarkan. Biasanya, setiap sel boleh menyimpan beberapa jenis peluru berpandu yang berlainan, membolehkan sesebuah kapal untuk memuatkan set padanan terbaik bergantung kepada misi yang akan dilaksanakan. Selain itu, apabila sesebuah peluru berpandu dibangunkan, ia biasanya boleh dipadankan dengan sistem pelancaran menegak yang telah sedia dipakai oleh sesebuah negara, membolehkan kapal-kapal yang sedia ada menggunakan peluru berpandu baharu ini tanpa sebarang kerja semula yang mahal. Apabila arahan dikeluarkan, peluru berpandu akan dilancarkan ke atas secukupnya untuk mengelakkan sel dan dan kapal, sebelum membelok yang terbang ke arah sasarannya.

Sebuah VLS membolehkan penempur permukaan memiliki jumlah persenjataan yang lebih besar yang sedia untuk dilancarkan pada sebilang masa dibandingkan dengan sistem pelancaran lama seperti pelancar tunggal Mark 13 dan pelancar berkembar Mark 26, di mana ia dimuatkan melalui belakang oleh sebuah kelongsong di bawah dek utama. Selain kuasa tembak yang lebih besar, VLS juga membawa kesan kerosakkan yang lebih besar dan kebolehupayaan yang lebih tinggi berbanding sistem sebelumnya, dan memiliki keratan rentas radar yang lebih rendah. Tentera Laut A.S. kini banyak bergantung kepada VLS bagi kapal-kapal pembinasa peluru berpandu dan kruisernya.

Apabila dipasang pada sebuah kapal selam penyerang berkuasa nuklear (SSN, sebuah VLS membolehkan kepelbagaian jenis senjata dan jumlah yang boleh dibawa, dibandingkan hanya menggunakan tiub torpedo.

USS Arleigh Burke

USS Arleigh Burke (DDG-51), dinamakan bersempena dengan nama Laksamana Arleigh A. Burke, USN (1901–1996), adalah kapal sulung dari kapal pembinasa peluru berpandu kelas-Arleigh Burke. Lunasnya telah dibaringkan oleh firma Bath Iron Works di Bath, Maine, pada 6 Disember 1988, dan dilancarkan pada 16 September 1989 oleh Puan Roberta (Gorsuch) Burke. Laksamana telah hadir sendiri di upacara pentauliahannya pada 4 Julai 1991, yang mana diadakan di gigi air bandar Norfolk, Virginia.

Para pereka Arleigh Burke telah memasukkan banyak pengajaran yang diperolehi oleh Tentera Laut Diraja semasa Perang Falklands dan kapal penjajap peluru berpandu kelas-Ticonderoga. Penjajap kelas Ticonderoga menjadi terlampau mahal untuk terus dibina, dan terlalu sukar untuk dinaik taraf.[petikan diperlukan] Rekabentuk Arleigh Burke termasuk ciri teknologi halimunan, yang mana memperbaiki keupayaannya untuk mengelak peluru berpandu anti kapal. Ia juga menggunakan versi sedikit turun-taraf sistem tempur Aegis, yang mana membolehkan pelancaran, penjejakan dan pengelakkan peluru berpandu dilakukan secara serentak. Bahan binaan yang terdiri daripada keluli sepenuhnya memberi perlindungan yang baik untuk struktur supernya, sementara Sistem Perlindungan Kolektif membolehkan ia beroperasi dalam persekitaran yang tercemar dengan bahan kimia, biologi atau radioaktif.

USS Cole (DDG-67)

USS Cole (DDG-67) adalah sebuah pembinasa peluru berpandu kelas-Arleigh Burke yang dilengkapi dengan sistem tempur Aegis. USS Cole berpangkalan di NS Norfolk, Virginia. Nama Cole digunakan bagi menghargai Sarjan Marin Darrell S. Cole, seorang penembak mesingan yang terbunuh dalam pertempuran di Iwo Jima pada 19 Februari 1945, semasa Perang Dunia II. Kapal ini telah dibina oleh Ingalls Shipbuilding dan diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat pada 11 Mac 1996.

Pada 12 Oktober 2000, Cole telah menjadi sasaran dalam satu serangan bunuh diri yang dilakukan oleh Al-Qaeda di pelabuhan Aden di Yaman; tujuh belas kelasi telah terbunuh manakala 39 orang lagi cedera. Serangan ini juga merosakkan kapal ini. Pada 29 November 2003 Cole telah diaturgerak untuk operasi luar negara pertama selepas pengeboman ini dan kembali semula ke pelabuhannya di Norfolk, Virginia pada 27 Mei 2004 tanpa sebarang kemalangan.

USS Winston S. Churchill (DDG 81)

USS Winston S. Churchill (DDG-81) adalah sebuah pembinasa peluru berpandu Kelas Arleigh Burke yang dimiliki oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. Kapal ini merupakan kapal ke-31 daripada 62 buah kapal yang dirancang untuk dibina dalam kelas ini. Churchill dinamakan bersempena nama bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill. Pelabuhan asal kapal ini adalah di NS Norfolk, Virginia.

USS Zumwalt

USS Zumwalt (DDG-1000) adalah sebuah pembinasa peluru berpandu dalam Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia merupakan kapal pertama dari kelas Zumwalt dan kapal pertama yang dinamakan bersempena dengan nama Laksamana Elmo Zumwalt. Zumwalt memiliki teknologi halimunan iaitu keratan rentas radar yang rendah menyerupai sebuah kapal menangkap ikan meskipun bersaiz besar. Pada 7 Disember 2015, Zumwalt memulakan ujian laut sebagai persediaan untuk menyertai Armada Pasifik. Kapal ini telah ditauliahkan di Baltimore pada 15 Oktober 2016. Ia berpangkalan di San Diego, California.

Kapal laut dan kapal perang pada zaman Moden Akhir
Kapal pengangkut pesawat
Battleships
Penjajap
Pengiring
Pengangkut
Lancang peronda
Kapal serang laju
Mine warfare
Command and support
Submarines
Miscellaneous

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.