Panthera

Panthera ialah satu genus dalam famili Felidae (kucing), yang merangkumi empat spesies hidup yang dikenali ramai, iaitu harimau, singa, jaguar, dan harimau bintang. Genus ini meliputi separuh daripada subfamili Pantherinae, iaitu kucing besar.

Menurut kamus American Heritage Dictionary, asal usul perkataan Panthera tidak jelas lagi. Ramai yang percaya bahawa istilah itu berasal dari bahasa Yunani, iaitu awalan pan- ("segala") digabungkan dengan perkataan thēr ("makhluk pemangsa") kerana haiwan-haiwan berkenaan dikatakan boleh memburu dan membunuh apa-apa sahaja. Istilah Yunani πάνθηρ, pánthēr, bermaksud segala haiwan Felidae yang berbunga secara amnya. Ada juga yang percaya bahawa panthera berasal dari bahasa Sanskrit, iaitu bererti "haiwan kekuningan" atau "kuning keputihan".[2]

Panthera[1]
Julat zaman: Pliosen Awal hingga Kini
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mamalia
Order: Carnivora
Keluarga: Felidae
Subkeluarga: Pantherinae
Genus: Panthera
Oken, 1816
Jenis spesies
Felis pardus
Linnaeus, 1758

Senarai takson

(Spesies dan subspesies pupus ditandai lambang †)

  • Genus Panthera[1]
    • Panthera crassidens (mungkin seiras dengan sejenis takson felid yang lain)
    • Panthera gombaszoegensis (Jaguar Eropah)
    • Panthera spelaea - Singa gua Eurasia
    • Panthera leo (Singa)
      • Panthera leo atrox - Singa Amerika atau Singa gua Amerika Utara
      • Panthera leo azandica - Singa Congo Timur Laut
      • Panthera leo bleyenberghi - Singa Katanga atau Singa Afrika Barat Daya
      • Panthera leo europaea - Singa Eropah
      • Panthera leo fossilis - Singa gua Eropah Pleistosen Pertengahan Awal
      • Panthera leo hollisteri - Singa Congo
      • Panthera leo kamptzi
      • Panthera leo krugeri - Singa Afrika Selatan atau Singa Afrika Tenggara
      • Panthera leo leo - Singa Barbary, pupus di alam liar
      • Panthera leo melanochaita - Singa Tanjung
      • Panthera leo massaica - Singa Masai
      • Panthera leo nubica - Singa Afrika Timur
      • Panthera leo nyanzae
      • Panthera leo persica - Singa Asiatik
      • Panthera leo sinhaleyus - Singa Sri Lanka atau Singa Ceylon.
      • Panthera leo senegalensis - Singa Afrika Barat, atau Singa Senegal
      • Panthera leo vereshchagini - Singa gua Siberia Timur dan Bering
    • Panthera onca (Jaguar)
      • Panthera onca arizonensis
      • Panthera onca centralis
      • Panthera onca goldmani
      • Panthera onca hernandesii
      • Panthera onca onca
      • Panthera onca palustris
      • Panthera onca paraguensis
      • Panthera onca peruviana
      • Panthera onca veracrucis
      • Panthera onca mesembrina - Jaguar Amerika Selatan Pleistosen
      • Panthera onca augusta - Jaguar Amerika Utara Pleistosen
    • Panthera palaeosinensis (Panterin Pleistosen - mungkin leluhur harimau)
    • Panthera pardoides (panterin primitif yang mungkin seiras dengan Panthera schaubi)
    • Panthera pardus (Harimau bintang)
      • Panthera pardus delacouri (Harimau bintang Indo-China)
      • Panthera pardus fusca (Harimau bintang India)
      • Panthera pardus japonensis (Harimau bintang Cina Utara)
      • Panthera pardus kotiya (Harimau bintang Sri Lanka)
      • Panthera pardus melas (Harimau bintang Jawa)
      • Panthera pardus nimr (Harimau bintang Arab)
      • Panthera pardus orientalis (Harimau bintang Amur)
      • Panthera pardus pardus (Harimau bintang Afrika)
      • Panthera pardus saxicolor (Harimau bintang Parsi)
      • Panthera pardus sickenbergi (Harimau bintang Eropah)
      • Panthera pardus tulliana (Harimau bintang Anatolia)
    • Panthera (Viretailurus) schaubi (Harimau kumbang Owen - mungkin bukan panterin[3])
    • Panthera schreuderi (felid prasejarah - mungkin sinonim junior jaguar Eropah [4])
    • Panthera tigris (Harimau)
    • Panthera toscana (Singa Tuscany atau Jaguar Tuscany - mungkin sinonim junior jaguar Eropah)
    • Panthera youngi (felid seakan-akan singa Cina)

Rujukan

  1. ^ a b Wozencraft, W. C. (2005). "Order Carnivora". dalam Wilson, D. E.; Reeder, D. M. Mammal Species of the World (edisi 3rd). Johns Hopkins University Press. m/s. 546–548. ISBN 978-0-8018-8221-0. OCLC 62265494.
  2. ^ ""Panther"". Online Etymology Dictionary. Douglas Harper. Dicapai 2007-11-12.
  3. ^ Hemmer, H., Kahlike, R.-D. & Vekua, A. K. (2004). The Old World puma Puma pardoides (Owen, 1846) (Carnivora: Felidae) in the Lower Villafranchian (Upper Pliocene) of Kvabebi (East Georgia, Transcaucasia) and its evolutionary and biogeographical significance. Neues Jahrbuch fur Geologie und Palaontologie, Abhandlungen 233, 197-233.
  4. ^ O'Regan, H & Turner, A (2004). "Biostratigraphic & palaeoecological implications of new fossil felid material from the Plio-Pleistocene site of Tegelen, the Netherlands". Palaeontology. 47 (5): 1181–1193. doi:10.1111/j.0031-0239.2004.00400.x.
  5. ^ Luo SJ, Kim JH, Johnson WE, Walt Jvd, Martenson J; dll. (2004). "Phylogeography and Genetic Ancestry of Tigers (Panthera tigris)". PLoS Biol. 2 (12): e442. doi:10.1371/journal.pbio.0020442.
Felidae

Felidae ialah famili biologi kucing; ahlinya digelar felid. Semua felid merupakan karnivor dalam order Carnivora. Felid yang paling biasa ialah kucing biasa, ahli lain ialah termasuklah semua kucing liar termasuk kucing besar.

Harimau

Harimau (Tulisan Jawi: هريماو; Panthera tigris) (juga dipanggil harimau belang atau pak belang) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis "kucing besar" dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae. Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang 3.3 meter (11 kaki) dan berat 300 kilogram (660 paun). Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.

Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam. Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat, dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.

Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan negara Asia, termasuk Malaysia.

Harimau Benggala

Harimau Benggala, atau Harimau Benggala Diraja (Panthera tigris tigris), ialah sejenis subspesies harimau yang dijumpai terutamanya di India dan Bangladesh, di samping juga di Nepal, Bhutan, Myanmar dan Tibet selatan. Harimau Benggala ialah subspesies harimau yang paling banyak bilangannya. Menurut WWF, terdapat kira-kira 2,000 ekor harimau Benggala Diraja yang masih buas, termasuk 1,411 di India, 450 di Bangladesh, 150 di Nepal, 100 di Bhutan, dan sebilangan kecil di Myanmar dan China.Subspesies Benggala P. tigris tigris merupakan haiwan kebangsaan Bangladesh, manakala di peringkat spesies, harimau Panthera tigris merupakan haiwan keabngsaan India.

Harimau Bintang

Harimau bintang (Panthera pardus) ialah salah satu kucing besar dalam genus Panthera. Ia hidup di Afrika dan Asia.

Harimau Indochina

Harimau Indochina atau harimau Corbett (Panthera tigris corbetti) ialah satu subspesies harimau yang ditemui di Kemboja, China, Laos, Burma, Thailand, dan Vietnam. Harimau di semenanjung Malaysia yang pernah digolongkan sebagai Indochina, kini dikelaskan semula sebagai subspesies yang berasingan, iaitu harimau Malaya Panthera tigris jacksoni. Nama "Corbett" berasal dari nama saintifik subspesiesnya, Panthera tigris corbetti, yang meminjam namanya daripada seorang pemburu terkenal bernama Jim Corbett.

Harimau Malaya

Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni) atau dikenali sebagai Harimau Belang merujuk kepada subspesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia. Harimau ini disahkan sebagai sub-spesies berasingan dari sub-spesies Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) melalui ujian genetik dan filogenik pada tahun 2004. Dianggarkan terdapat hanya 200 ekor harimau ini yang hidup liar.

Harimau Sumatera

Harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae) ialah satu subspesies harimau yang ditemui di pulau Sumatera, Indonesia. Ujian genetik terkini telah mendedahkan kehadiran penanda genetik unik yang mengasingkan harimau Sumatera dari semua subspesies tanah besar. Kini, cuma tinggal sekitar 400-500 ekor harimau Sumatera dalam habitat liar.

Harimau bintang salji

Harimau bintang salji (Panthera uncia syn. Uncia uncia) merupakan sejenis kucing berukuran besar, dengan panjang tubuh mencapai 130 cm, dan panjang ekor sekitar 100 cm. Spesies ini mempunyai bulu tebal berwarna putih kekelabuan dengan bintik-bintik berwarna hitam kecoklatan. Kucing betina serupa, dan berukuran lebih kecil dari jantan. Tidak seperti kucing-kucing besar yang lain, harimau tutul salji tidak dapat mengaum atau mendengkur, dan merupakan satu-satunya spesies di dalam marga tunggal Uncia sejak awal 1930-an.Daerah taburan spesies ini ialah di pegunungan salji Asia Tengah, dari Afghanistan hingga bahagian timur Tibet. Mangsa utamanya terdiri dari kambing gunung, arnab dan binatang-binatang lain yang terdapat di sekitar habitat harimau bintang salji.

Harimau bintang salji merupakan haiwan penyendiri, jantan dan betina memburu mangsa berpasangan hanya pada musim membiak. Harimau bintang salji betina biasanya mempunyai dua hingga tiga anak, yang tinggal bersama induknya hingga harimau bintang muda berumur sekurang-kurangnya satu tahun.

Walaupun dilindungi di hampir semua negara tempat spesies ini berada, Harimau bintang salji masih diburu secara liar kerana memangsa haiwan ternakan dan terutamanya untuk diambil bulunya. Harimau Tutul Salji dinilai Terancam Pupus di dalam Senarai Merah IUCN dan tersenarai di dalam CITES Appendix I.

Harimau kumbang

Harimau kumbang ialah kelainan beberapa jenis harimau seperti jaguar (Panthera onca) dan harimau bintang (Panthera pardus).Harimau kumbang mempunyai taburan yang luas dan mempunyai rupa dan memburu mangsa yang yang amat berbeza. Ia mungkin mempunyai corak kulit yang berwarna kuning pucat di kawasan gurun, dan kuning tua di kawasan padang rumput. Terdapat juga harimau kumbang yang berwarna hitam keseluruhan tubuhnya. Ini disebabkan penghasilan pewarna hitam yang berlebihan di dalam kulit dan bulunya, tetapi tompok bulunya masih ada, walaupun samar-samar.

Harimau kumbang merupakan haiwan yang gemar bersendirian dan mempunyai kawasan pemburuan yang dikawalnya sendiri. Sungguhpun begitu, kawasan pemburuan harimau kumbang jantan mungkin turut merangkumi (bertindan) dengan kawasan pemburuan beberapa ekor harimau kumbang betina.

Jaguar

Jaguar (Panthera onca) ialah sejenis kucing besar yang tergolong dalam genus Panthera, dan juga satu-satunya spesies Panthera yang berasal dari benua Amerika. Jaguar ialah kucing liar ketiga terbesar selepas harimau dan singa, dan juga kucing yang terbesar dan terkuat di Hemisfera Barat. Taburan jaguar meliputi kawasan dari Mexico di utara, merentasi Amerika Tengah hingga ke Paraguay dan Argentina utara di selatan. Melainkan di sebahagian negeri Arizona (tenggara Tucson), spesies jaguar telah menjadi pupus di Amerika Syarikat sejak awal 1900-an.

Kucing berbintik ini amat menyerupai harimau bintang, tetapi badannya lebih besar dan teguh, manakala sifat-sifat tabii dan habitatnya lebih menyerupai harimau belang. Biarpun lebih gemar hidup dalam kawasan hutan hujan, namun jaguar juga boleh hidup dalam berbagai-bagai jenis kawasan berhutan dan terbuka. Selain itu, habitatnya mesti ada punca air, apalagi jaguar juga pandai berenang seperti harimau belang. Jaguar merupakan pemangsa hendap yang biasanya memburu secara bersendirian dan memilih mangsanya mengikut peluang, dan juga pemangsa puncak dan batu kunci, yang memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekosistem dan mengawal bilangan spesies mangsanya. Gigitan jaguar teramat kuat sekali, berbanding kucing-kucing besar yang lain, sehingga boleh menusuk cangkerang kura-kura serta menggunakan cara pembunuhan yang tersendiri, iaitu menggigit telinga mangsa sampai menusuk tengkorak dan otaknya.Jaguar ialah sejenis spesies hampir terancam yang semakin berkurangan bilangannya akibat kehilangan dan fragmentasi habitat. Sungguhpun larangan undang-undang dikenakan terhadap perdagangan jaguar atau anggota badannya di peringkat antarabangsa, namun nyawa kucing besar ini masih diancam oleh manusia, khususnya ketika berdepan dengan peladang dan penternak di Amerika Selatan. Meskipun begitu, taburan jaguar masih tetap meluas. Disebabkan wujud begitu lama dalam sejarah, jaguar banyak menjadi bahan utama dalam mitos kebudayaan pribumi benua Amerika, termasuk Maya dan Aztek.

Kucing besar

Istilah kucing besar bukan pengelasan biologi, sebaliknya digunakan dalam pertuturan basahan untuk membezakan spesis kucing yang lebih besar daripada yang lebih kecil. Salah satu takrifan bagi "kucing besar" memaksudkan empat ahli genus Panthera, iaitu harimau belang, harimau bintang, jaguar dan singa; keempat-empat ahli genus ini sahajalah yang mampu mengaum. "Kucing besar" juga boleh merangkumi cheetah, harimau bintang salji, dan kugar.

Walaupun ada yang besar dan kecil, namun berbagai-bagai spesies kucing ini serupa struktur badan dan kelakuannya, kecuali cheetah yang amat berbeza daripada mana-mana kucing lain baik besar mahupun kecil. Semua kucing ini adalah karnivor dan pemangsa yang cekap, dan terdapat di kawasan Amerika, Afrika, Asia, dan Eropah.

Liger

Liger [lai-gĕr], simau atau sirimau ialah kacukan singa jantan (Panthera leo) dan harimau betina (Panthera tigris), oleh itu induk-induknya sama genus tetapi berlainan spesiesnya. Nama "liger" jelas berasal dari perkataan Inggeris lion dan tiger. Liger adalah berbeza dari kacukan tiglon (harimau jantan + singa betina). Liger adalah yang terbesar di kalangan semua jenis kucing yang masih wujud kerana menikmati kecergasan hibrid. Haiwan sebegini hanya wujud dalam perkurungan manusia memahdangkan haiwan-haiwan induknya yang digunakan untuk pengacukan pembiakan singa dan harimau asli berasal dari kawasan berlainan, malah dua ekor haiwan spesies sama sekali yang berlainan jenis sekalipun tidak hendak saling berbiak dengan relanya di alam liar.

Kacukan ini mewarisi sifat kedua-dua spesies induknya, termasuklah membuat bunyi seakan dihasilkan singa dan harimau serta juga mewarisi kebolehan berenang dari harimau dan gemar hidup berkelompok seperti singa. Sungguhpun demikian, liger sering menghadapi pelbagai risiko kesihatan dan bermacam-macam masalah lain.

Tubuh fizikalnya cenderung terbina lebih besar berbanding kedua-dua spesies induknya, tetapi biasanya ini membahayakan harimau betina yang bunting sehingga perlunya melahirkan anak melalui pembedahan Caesarean. Liger biasanya mempunyai jangka hayat yang pendek malah samping mengalami kecacatan sejak lahir dan pelbagai mutasi yang lain.

Panthera palaeosinensis

Panthera palaeosinensis ialah spesies Pleistosen awal dari China utara yang berupa seakan-akan harimau purba.

Singa

Singa (Panthera leo) merupakan salah satu ahli genus Panthera, yakni sejenis kucing besar dalam keluarga Felidae (rumpun kucing). Singa tergolong sebagai spesies terjejas di Senarai Merah IUCN sejak tahun 1996 kerana populasi taburan Afrika merosot sebanyak 43% sejak 1990-an. Populasi singa sukar dipelihara di luar kawasan perlindungan. Biarpun punca kemerosotan tidak dipastikan sepenuhnya tetapi kehilangan habitat dan pertembungan dengan manusia paling merisaukan. Populasi singa Afrika Barat digolongkan sebagai spesies terancam genting sejak 2016. Satu-satunya populasi singa liar di Asia terdapat di India sekitar Taman Negara Hutan Gir dan digolongkan sebagai spesies terancam sejak 1986.Singa yang hidup liar jarang ada yang hidup lebih lama daripada 10–14 tahun, lebih-lebih lagi hayatnya dipendekkan lagi oleh kecederaan akibat bergaduh. Singa dalam tawanan mampu hidup menjangkau 20 tahun. Singa lazimnya hidup di kawasan savana dan padang rumput, bahkan juga di belukar dan hutan. Singa jauh lebih gemar bersosial (hidup berkawanan) berbanding dengan spesies kucing lain. Sekawan singa terdiri daripada betina-betina bersaudara dan anak-anak serta segelintir jantan dewasa. Singa betina sering memburu secara berkumpulan, rata-ratanya memangsakan haiwan maun ungulat. Singa bukan sahaja merupakan pemangsa terulung, bahkan juga mahir sebagai pebangkai yang memperoleh 50 peratus bekalan makanan dengan mencari bangkai sebaik peluang yang ada. Diketahui bahawa singa memburu manusia tetapi itu bukan tabii. Singa merupakan haiwan nokturnal yang gemar tidur pada waktu siang dan bergiat pada waktu malam, lebih-lebih lagi waktu senja (krepuskul).Singa jantan menonjol sekali rupanya dengan surai yang lebat, bahkan wajah singa jantan adalah simbol haiwan yang paling umum dikenali dalam budaya manusia, Wujudnya gambaran singa mulai usia Paleolitik Akhir dengan ukiran dan lukisan dari gua-gua Lascaux dan Chauvet di Perancis sejak 17,000 tahun dahulu, melalui hampir semua budaya zaman kuno dan pertengahan yang pernah mengenali singa. Singa digambarkan secara meluas dalam bentuk arca, lukisan, bendera, mahupun filem dan sastera moden. Singa dibela dalam kurungan sejak zaman Empayar Rom, malah dijadikan spesies yang "wajib" dipamerkan di zoo seluruh dunia sejak akhir abad ke-18. Taman-taman haiwan seluruh dunia bekerjasama mengadakan program pembiakan untuk singa Asia yang terancam.

Singa Afrika Barat

Singa Afrika Barat (Panthera leo leo) merupakan populasi singa di Afrika Barat yang kini digolongkan sebagai spesies terancam genting dalam Senarai Merah IUCN. Populasi ini terpencil dan terdiri daripada tidak lebih 250 ekor yang matang. Setakat tahun 2004 sahaja, populasi singa di Afrika Barat dan Tengah berpecah-belah dan dianggarkan terdiri daripada sebanyak 1,800 individu.Pada abad ke-20, ia juga dikenali sebagai singa Senegal. Dahulu ia dikira sebagai subspesies singa di bawah nama P. leo senegalensis. Pada 2017, populasi singa Afrika Utara, Barat, Tengah dan Asia tergolong di bawah P. l. leo.

Singa Tanjung

Singa Tanjung (Panthera leo melanochaita) merupakan subpopulasi bagi singa Afrika Selatan di kawasan Tanjung Harapan Afrika Selatan yang pupus setempat sejak pertengahan abad ke-19.Analisis filogeografi menunjukkan bahawa populasi singa di bahagian-bahagian Selatan dan Timur Africa pada umumnya rapat bersaudara. Pada 2017, Pasukan Petugas Pengelasan Kucing IUCN menggolongkan populasi singa Afrika Selatan di bawah trinomen Panthera leo melanochaita.

Spesies

Spesies adalah konsep taksonomi yang digunakan dalam biologi untuk menunjuk pada populasi organisma yang sejenis atau serupa dalam beberapa hal yang penting. Biasanya, organisma-organisma tersebut boleh membiak bersama.

Dalam pengelasan saintifik, satu spesies diberikan tatanama binomial dalam bentuk nama genus dan diikuti satu nama unik, dan ditulis dalam keadaan condong. Contohnya ialah Homo sapiens, Panthera tigris dan Hibiscus rosa-sinensis.

Tiglon

Tiglon atau tigon ialah hasil kacukan harimau jantan (Panthera tigris) dan singa betina (Panthera leo), jadi induk-induknya sama genus tetapi berlainan spesies. Bilangan tiglon kini tidak sebanyak liger (singa jantan + harimau betina); tetapi pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, tiglon lebih banyak berbanding liger. Nama tiglon jelas digabungkan dari perkataan tiger dan lion.

Tiglon mewarisi sifat-sifat kedua-dua induknya, iaitu memperoleh bintik dari ibunya (singa membawa gen bintik, oleh itu anak singa ada bintik) dan belang dari bapanya. Tiglon jantan boleh (tetapi tidak semestinya) bersurai, itupun lebih pendek dan sukar dilihat berbanding surai singa, tetapi lebih menyerupai bulu tengkuk harimau jantan. Tiglon tidak melebihi saiz spesies induknya kerana mewarisi gen pembantut pertumbuhan dari ibu singa, tetapi tidak mengalami apa-apa kesan kekederilan atau peminiaturan; beratnya sekitar 180 kilogram (400 lb).

Tiglon agak jaran dijumpai gara-gara hariamu jantan mendapati sukarnya mengenal pasti perilaku kesediaan singa betina untuk mengawan. namun demikian, singa betina giat mencari teman untuk mengawan, jadi kejarangan tiglon pada pokoknya disebabkan kurang menariknya dari segi saiz berbanding liger, oleh itu kurangnya nilai kemewahannya. Seabad lalu, tiglon lebih kerap dijumpai berbanding liger. Gerald Iles, dalam bukunya At Home In The Zoo (1961), mengaku memperoleh tiga ekor tiglon untuk Belle Vue Zoo di Manchester, tetapi tidak pernah melihat liger.

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.