Kucing besar

Istilah kucing besar bukan pengelasan biologi, sebaliknya digunakan dalam pertuturan basahan untuk membezakan spesis kucing yang lebih besar daripada yang lebih kecil. Salah satu takrifan bagi "kucing besar" memaksudkan empat ahli genus Panthera, iaitu harimau belang, harimau bintang, jaguar dan singa; keempat-empat ahli genus ini sahajalah yang mampu mengaum. "Kucing besar" juga boleh merangkumi cheetah, harimau bintang salji, dan kugar.

Walaupun ada yang besar dan kecil, namun berbagai-bagai spesies kucing ini serupa struktur badan dan kelakuannya, kecuali cheetah yang amat berbeza daripada mana-mana kucing lain baik besar mahupun kecil. Semua kucing ini adalah karnivor dan pemangsa yang cekap, dan terdapat di kawasan Amerika, Afrika, Asia, dan Eropah.

HansomeLion 002
Singa.

Spesies

Famili Felidae

Anjing

Anjing bela jinak (Tulisan Jawi: انجيڠ بلا جينق; Canis lupus familiaris apabila dianggap sebagai subspesies bagi serigala atau Canis familiaris apabila dianggap sebagai spesies tersendiri) merupakan salah satu anggota bagi genus Canis, yang membentuk sebahagian daripada canid-canid keserigalaan, dan merupakan karnivor darat yang paling banyak. Anjing dan serigala kelabu yang ekstan merupakan takson-takson bersaudara kerana serigala moden tidak berkait rapat dengan serigala yang pertama kali dibelajinakkan, yang menandakan bahawa leluhur langsung bagi anjing telah pupus. Anjing merupakan spesies pertama yang dibelajinakkan dan telah dibiakbakakan secara terpilih selama beralaf-alaf untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan sifat fizikal.Hubungan panjangnnya dengan manusia telah menyebabkan anjing menjadi sesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia dan anjing mampu berkembang atas pemakanan yang kaya dengan kanji yang sepatutnya tidak cukup untuk spesies canid lain. Anjing sangat berbeza-beza dari segi rupa bentuk, saiz, dan warna. Anjing memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti perburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pembantu polis dan ketenteraan, teman, dan, lebih kini, pembantu individu kurang upaya dan peranan terapi. Pengaruh ini terhadap kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia".

Anjing Kuchi

Anjing Kuchi ([سگ کوچی, sag-e Kūchī] ; Bahasa Inggeris: Kuchi dog) atau anjing gembala Afghan (Bahasa Inggeris: Afghan shepherd dog) ialah satu baka anjing gembala Afghan, mengambil nama sempena orang Kuchi dari Afghanistan. Ia juga merupakan anjing pengawal dan pekerja yang mengikuti orang nomad, melindungi kafilah dan kawanan biri-biri, kambing, unta dan haiwan ternakan lain daripaa serigala, kucing besar dan pencuri. Ia kadang-kadang dikenali sebagai varian tempatan anjing gembala Asia Tengah dan statusnya sebagai baka tersendiri boleh dipertikaikan.

Anjing Kuchi, atau namanya dalam bahasa Parsi baku sag-e Kūchī atau dalam bahasa Pashto de Kochyano spai, dan sag-e jangi atau jangi spai bererti "anjing orang nomad" dan "anjing laga" masing-masing. Ia dijumpai di sekitar bahagian tengah dan utara Afghanistan, di Pakistan, dan di rantau sekitar di Asia Tengah. Anjing gunung ini mengongsi latar belakang genetik serupa dengan anjing gembala Asia Tengah.

Oleh sebab anjing ini serumitnya berkaitan dengan kehidupan nomad di rantau pedalaman dan berceranggah, tempat teknik pembiakbakaan Barat tidak digunakan, pengenalpastian jenis Kuchi "benar" bagi anjing adalah sukar. Peperangan dan keresahan umum di rantau berkenaan juga telah mempengaruhi orang Kuchi, yang ramai daripadanya telah berpindah ke kota untuk mendapatkan banyak peluang untuk anjing Kuchi membiak silang dengan anjing lain. Tiada badan pertubuhan untuk anjing di Afghanistan dan sesetengah anjing Kuchi telah dieksport ke Eropah.

Beruang

Beruang merupakan mamalia karnivor dalam keluarga Ursidae. Ia tergolong falam Caniformia, atau karnivor seakan anjing. Biarpun hanya lapan spesies beruang yang wujud, tetapi ia tersebar luas di pelbagai habitat seluruh Hemisfera Utara dan sedikit Hemisfera Selatan. Beruang ditemui di benua-benua Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, dan Asia. Ciri-ciri umum beruang moden termasuk badan besar dengan paha yang pendek dan gempal, muncung yang panajng, telinga yang kecil dan bulat, bulu yang kasar dan berjumbai-jumbai, tapak kaki plantigred (keseluruhan menyentuh tanah) dengan kuku yang tidak boleh sentut, dan ekor yang pendek.

Sedangkan beruang kutub paling maging, dan panda gergasi pula hampir makan buluh sahaja, enam spesies yang tinggal pula merupakan omnivor yang pelbagai sumber makanan. Kecuali individu yang bercinta-cintana serta ibu dengan anak, beruang selalunya hidup menyendiri. Baik diurnal mahupun nokturnal, malah tajam deria baunya. Biarpun berat susuk lagi canggung berjalan, beruang tangkas berlari, memanjat dan berenang. Beruang menjadikan tempat berteduh seperti gua dan kayu balak sebagai jerumun (sarang); kebanyakan spesies mendiami jerumun pada musim sejuk untuk hibernasi selama 100 hari.

Beruang diburu sejak zaman prasejarah untuk daging dan bulu; kini pula digunakan untuk menyeksa beruang dan lain-lain bentuk hiburan seperti dibuat menari. Beruang dengan paras rupa yang gagah memainkan peranan yang cukup penting dalam seni, mitos dan lain-lain aspek budaya manusia. Pada zaman moden, beruang digugat oleh kemusnahan habitat serta perdagangan anggota beruang secara haram termasuk pasaran hempedu beruang Asia. IUCN menyenaraikan enam spesies beruang sebagai terjejas atau terancam, malah spesies kurang membimbangkan seperti beruang perang juga diancam kepupusan di negara-negara tertentu. Kegiatan memburu dan memperdagangkan beruang terancam ini sudah dilarang tetapi masih berlarutan.

Citah

Citah (Acinonyx jubatus) ialah haiwan daripada keluarga kucing besar yang hidup di Afrika. Citah ialah haiwan darat terpantas dan dapat berlari antara 112 sehingga 120 kilometer per jam dalam jarak 460 m. Tidak seperti kucing lain, citah tidak berapa pandai memanjat.

Felidae

Felidae ialah famili biologi kucing; ahlinya digelar felid. Semua felid merupakan karnivor dalam order Carnivora. Felid yang paling biasa ialah kucing biasa, ahli lain ialah termasuklah semua kucing liar termasuk kucing besar.

Feliformia

Feliformia (juga Feloidea) ialah nama bagi satu suborder dalam order Carnivora yang terdiri daripada karnivoran "kekucingan", termasuk kucing (besar dan kecil), dubuk, cerpelai, musang, dan takson-takson berkaitan. Feliformia berlawanan dengan suborder lagi satu dalam Carnivora, iaitu Caniformia (karnivoran "keanjingan").

Pemisahan Carnivora kepada kelompok-kelompok luas feliform dan caniform diterima secara meluas, seperti pentakrifan Feliformia dan Caniformia sebagai suborder (kadang-kadang superkeluarga). Pengelasan feliform sebagai sebahagian daripada suborder Feliformia atau di bawah kelompok terpisah terus mengalami evolusi.

Pengelasan sistematik yang menguruskan hanya takson ekstan menyertakan semua feliform ke dalam suborder Feliformia, walaupun variasi wujud dalam pentakrifan dan pengelompokan keluarga dan genus. Filogeni molekul mencadangkan bahawa semua Feliformia ekstan adalah monofiletik.Keluarga-keluarga ektan seperti yang tercermin dalam carta takson di sebelah kanan dan perbincangan dalam rencana ini mencerminkan pandangan paling terkini dan tersokong dengan baik (sewaktu penulisan rencana).

Pengelasan sistematik yang menguruskan kedua-dua takson ekstan dan pupus lebih berbeza-beza dengan meluas. Sesetengah memisahkan feliform (ekstan dan pupus) seperti berikut: Aeluroidea (superkeluarga) dan Feliformia (suborder). Yang lain pula menyertakan semua feliform (ekstan, pupus, dan "leluhur mungkin") ke dalam suborder Feliformia. Kajian-kajian baru-baru ini mencadangkan bahawa penyertaan "leluhur mungkin" ke dalam Feliformia (atau juga Carnivora) mungkin palsu. Keluarga-keluarga yang pupus (†) seperti yang tercermin dalam carta takson merupakan yang paling kurang bermasalah dari segi hubungan dengan feliform ekstan (yang paling bermasalah merupakan Nimravidae).

Harimau

Harimau (Tulisan Jawi: هريماو; Panthera tigris) (juga dipanggil harimau belang atau pak belang) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis "kucing besar" dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae. Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang 3.3 meter (11 kaki) dan berat 300 kilogram (660 paun). Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.

Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam. Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat, dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.

Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan negara Asia, termasuk Malaysia.

Harimau Bintang

Harimau bintang (Panthera pardus) ialah salah satu kucing besar dalam genus Panthera. Ia hidup di Afrika dan Asia.

Harimau bintang salji

Harimau bintang salji (Panthera uncia syn. Uncia uncia) merupakan sejenis kucing berukuran besar, dengan panjang tubuh mencapai 130 cm, dan panjang ekor sekitar 100 cm. Spesies ini mempunyai bulu tebal berwarna putih kekelabuan dengan bintik-bintik berwarna hitam kecoklatan. Kucing betina serupa, dan berukuran lebih kecil dari jantan. Tidak seperti kucing-kucing besar yang lain, harimau tutul salji tidak dapat mengaum atau mendengkur, dan merupakan satu-satunya spesies di dalam marga tunggal Uncia sejak awal 1930-an.Daerah taburan spesies ini ialah di pegunungan salji Asia Tengah, dari Afghanistan hingga bahagian timur Tibet. Mangsa utamanya terdiri dari kambing gunung, arnab dan binatang-binatang lain yang terdapat di sekitar habitat harimau bintang salji.

Harimau bintang salji merupakan haiwan penyendiri, jantan dan betina memburu mangsa berpasangan hanya pada musim membiak. Harimau bintang salji betina biasanya mempunyai dua hingga tiga anak, yang tinggal bersama induknya hingga harimau bintang muda berumur sekurang-kurangnya satu tahun.

Walaupun dilindungi di hampir semua negara tempat spesies ini berada, Harimau bintang salji masih diburu secara liar kerana memangsa haiwan ternakan dan terutamanya untuk diambil bulunya. Harimau Tutul Salji dinilai Terancam Pupus di dalam Senarai Merah IUCN dan tersenarai di dalam CITES Appendix I.

Harimau dahan

Harimau Dahan atau harimau akar (bahasa Inggeris:Clouded leopard), nama saintifiknya Neofelis nebulosa, adalah sejenis kucing besar dijumpai dari kaki bukit Himalaya melalui tanah besar Asia Tenggara hingga ke China, dan diklasifikasikan sebagai terancam pada 2008 oleh IUCN. Jumlah saiz populasinya mungkin kurang daripada 10,000 individu matang, dengan trend populasi yang menurun dan tiada satu populasi berjumlah lebih daripada 1,000 dewasa.

Jaguar

Jaguar (Panthera onca) ialah sejenis kucing besar yang tergolong dalam genus Panthera, dan juga satu-satunya spesies Panthera yang berasal dari benua Amerika. Jaguar ialah kucing liar ketiga terbesar selepas harimau dan singa, dan juga kucing yang terbesar dan terkuat di Hemisfera Barat. Taburan jaguar meliputi kawasan dari Mexico di utara, merentasi Amerika Tengah hingga ke Paraguay dan Argentina utara di selatan. Melainkan di sebahagian negeri Arizona (tenggara Tucson), spesies jaguar telah menjadi pupus di Amerika Syarikat sejak awal 1900-an.

Kucing berbintik ini amat menyerupai harimau bintang, tetapi badannya lebih besar dan teguh, manakala sifat-sifat tabii dan habitatnya lebih menyerupai harimau belang. Biarpun lebih gemar hidup dalam kawasan hutan hujan, namun jaguar juga boleh hidup dalam berbagai-bagai jenis kawasan berhutan dan terbuka. Selain itu, habitatnya mesti ada punca air, apalagi jaguar juga pandai berenang seperti harimau belang. Jaguar merupakan pemangsa hendap yang biasanya memburu secara bersendirian dan memilih mangsanya mengikut peluang, dan juga pemangsa puncak dan batu kunci, yang memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekosistem dan mengawal bilangan spesies mangsanya. Gigitan jaguar teramat kuat sekali, berbanding kucing-kucing besar yang lain, sehingga boleh menusuk cangkerang kura-kura serta menggunakan cara pembunuhan yang tersendiri, iaitu menggigit telinga mangsa sampai menusuk tengkorak dan otaknya.Jaguar ialah sejenis spesies hampir terancam yang semakin berkurangan bilangannya akibat kehilangan dan fragmentasi habitat. Sungguhpun larangan undang-undang dikenakan terhadap perdagangan jaguar atau anggota badannya di peringkat antarabangsa, namun nyawa kucing besar ini masih diancam oleh manusia, khususnya ketika berdepan dengan peladang dan penternak di Amerika Selatan. Meskipun begitu, taburan jaguar masih tetap meluas. Disebabkan wujud begitu lama dalam sejarah, jaguar banyak menjadi bahan utama dalam mitos kebudayaan pribumi benua Amerika, termasuk Maya dan Aztek.

Kucing

"Kucing domestik" dilencongkan di sini. Untuk kegunaan lain, sila lihat Kucing (nyahkekaburan).

Rencana ini adalah mengenai kucing. Untuk ibu negeri Sarawak, sila lihat Kuching.

Kucing dikenali sebagai kucing bela jinak ialah mamalia karnivor kecil daripada subspesis Felis silvestris catus. Ia ialah keturunan kucing liar Afrika, Felis silvestris lybica dan barangkali telah dijinakkan 3,500 tahun dahulu di zaman Mesir purba di mana ia digunakan untuk menjaga simpanan bijirin daripada tikus dan roden yang lain. Hari ini, kucing merupakan salah satu binatang belaan rumah yang paling terkenal di dunia.

Kucing yang keturunannya berdaftar secara rasmi dipanggil kucing baka, kucing baka tulen atau kucing pertunjukan. Kucing baka tulen adalah kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan populasi kucing; kucing yang mempunyai baka campuran dirujuk sebagai bulu-panjang bela jinak dan bulu-pendek bela jinak.

Terdapat pelbagai baka kucing domestik, ada yang tidak berbulu ataupun berekor, dan mereka ada dalam pelbagai warna yang berlainan dan ada juga yang mempunyai banyak warna. Mereka ialah pemangsa yang mahir dan diketahui bahawa mereka memburu lebih daripada seribu spesies haiwan lain sebagai makanan. Mereka juga haiwan yang pintar dan ada yang berkebolehan untuk menggunakan mekanisma ringkas seperti tuil pintu atau tandas manusia. Mereka berhubung dengan mengiau ("ngiau"), mengeluarkan bunyi 'purrr', berdesis dan juga isyarat anggota. Kucing boleh dikatakan masih baru dijinakkan, oleh itu kucing juga boleh hidup di kawasan liar dan selalunya mereka akan membentuk satu koloni kecil. Hubungan manusia dan kucing menyebabkan kucing dipuja dalam dongengan dan legenda daripada beberapa bangsa, contohnya Mesir Purba, Viking dan juga Cina.

Kucing hutan Norway

Kucing hutan Norway (Bahasa Norway: norsk skogkatt atau [norsk skaukatt] ; Bahasa Inggeris: Norwegian forest cat) ialah satu baka kucing bela jinak yang asli di Eropah Utara. Baka semula jadi ini teradaptasi terhadap iklim sangat sejuk, dengan bulu lapis atas licau, panjang, dan mengurangkan air, dan bulu lapis bawah berwul untuk penebatan. Sungguhpun ini tidak pasti, leluhur baka ini mungkin merupakan baka tempatan kucing berbulu pendek yang dibawa ke Norway oleh Viking pada sekitar tahun 1000, yang mungkin juga telah membawa dengan mereka kucing berbulu panjang, seperti yang menjadi leluhur kepada baka kucing Siberia dan kucing Anggora Turki. Semasa Perang Dunia II, baka ini hampir pupus sehingga usaha oleh Kelab Kucing Hutan Norway membantu baka ini dengan mengadakan atur cara pembiakbakaan rasmi. Ia didaftarkan sebagai baka dengan Fédération Internationale Féline Eropah pada 1970-an, apabila seorang penggemar kucing tempatan, Carl-Fredrik Nordane, mengambil perhatian tentang baka ini dan melakukan usaha untuk mendaftarkannya. Semasa ini, kucing hutan Norway adalah sangat popular di Norway, di Sweden, di Iceland dan di Perancis.

Ia merupakan kucing besar dan kuat, yang serupa dengan baka Maine Coon Amerika, dengan ekor lebat dan tubuh tegap. Baka ini sangat bagus dalam memanjat, oleh sebab ia mempunyai cakar kuat. Jangka hayatnya biasanya 14 hingga 16 tahun, tetapi penyakit ginjal dan jantung telah dilaporkan pada baka ini. Secara tertentu pada baka ini, susunan semula kompleks bagi enzim pencabangan glikogen (GBE1) boleh menyebabkan keruntuhan hiplogisemia perinatal dan kemerosotan otot saraf onset hujung juvenil dalam penyakit penyimpanan glikogen jenis IV.

Panthera

Panthera ialah satu genus dalam famili Felidae (kucing), yang merangkumi empat spesies hidup yang dikenali ramai, iaitu harimau, singa, jaguar, dan harimau bintang. Genus ini meliputi separuh daripada subfamili Pantherinae, iaitu kucing besar.

Menurut kamus American Heritage Dictionary, asal usul perkataan Panthera tidak jelas lagi. Ramai yang percaya bahawa istilah itu berasal dari bahasa Yunani, iaitu awalan pan- ("segala") digabungkan dengan perkataan thēr ("makhluk pemangsa") kerana haiwan-haiwan berkenaan dikatakan boleh memburu dan membunuh apa-apa sahaja. Istilah Yunani πάνθηρ, pánthēr, bermaksud segala haiwan Felidae yang berbunga secara amnya. Ada juga yang percaya bahawa panthera berasal dari bahasa Sanskrit, iaitu bererti "haiwan kekuningan" atau "kuning keputihan".

Pemangsa puncak

Pemangsa puncak (juga dikenali sebagai pemangsa alfa, apeks, mercu atau super) ialah pemangsa dengan tiada pemangsa miliknya, terletak di puncak rantai makanannya. Ahli zoologi mentakrifkan pemangsaan sebagai pembunuhan dan pemakanan organisma lain (yang secara umumnya mengecualikan parasit dan kebanyakan bakteria). Dalam konteks ini, "pemangsa puncak" biasanya ditakrifkan dalam istilah dinamik trofik. Spesies pemangsa puncak menguasai aras trofik tertinggi dan mempunyai peranan penting dalam mengekalkan kesihatan bagi ekosistemnya. Satu kajian jaringan makanan marin mentakrifkan pemangsa puncak sebagai lebih daripada aras trofik empat. Konsep pemangsa puncak biasa digunakan dalam pengurusan hidupan liar, pemuliharaan, dan ekopelancongan.

Rantai makanan kerap jauh lebih pendek di darat, dengan puncak rantai makanan terhad kepada aras trofik ketiga, kerana pemangsa begitu seperti kucing besar, buaya, dubuk, serigala, atau ular konstriktor besar memangsakan herbivor besar. Pemangsa puncak tidak perlu menjadi hiperkarnivor. Contohnya, beruang perang Amerika Utara dan manusia ialah pemangsa puncak dan merupakan omnivor.

Singa

Singa (Panthera leo) merupakan salah satu ahli genus Panthera, yakni sejenis kucing besar dalam keluarga Felidae (rumpun kucing). Singa tergolong sebagai spesies terjejas di Senarai Merah IUCN sejak tahun 1996 kerana populasi taburan Afrika merosot sebanyak 43% sejak 1990-an. Populasi singa sukar dipelihara di luar kawasan perlindungan. Biarpun punca kemerosotan tidak dipastikan sepenuhnya tetapi kehilangan habitat dan pertembungan dengan manusia paling merisaukan. Populasi singa Afrika Barat digolongkan sebagai spesies terancam genting sejak 2016. Satu-satunya populasi singa liar di Asia terdapat di India sekitar Taman Negara Hutan Gir dan digolongkan sebagai spesies terancam sejak 1986.Singa yang hidup liar jarang ada yang hidup lebih lama daripada 10–14 tahun, lebih-lebih lagi hayatnya dipendekkan lagi oleh kecederaan akibat bergaduh. Singa dalam tawanan mampu hidup menjangkau 20 tahun. Singa lazimnya hidup di kawasan savana dan padang rumput, bahkan juga di belukar dan hutan. Singa jauh lebih gemar bersosial (hidup berkawanan) berbanding dengan spesies kucing lain. Sekawan singa terdiri daripada betina-betina bersaudara dan anak-anak serta segelintir jantan dewasa. Singa betina sering memburu secara berkumpulan, rata-ratanya memangsakan haiwan maun ungulat. Singa bukan sahaja merupakan pemangsa terulung, bahkan juga mahir sebagai pebangkai yang memperoleh 50 peratus bekalan makanan dengan mencari bangkai sebaik peluang yang ada. Diketahui bahawa singa memburu manusia tetapi itu bukan tabii. Singa merupakan haiwan nokturnal yang gemar tidur pada waktu siang dan bergiat pada waktu malam, lebih-lebih lagi waktu senja (krepuskul).Singa jantan menonjol sekali rupanya dengan surai yang lebat, bahkan wajah singa jantan adalah simbol haiwan yang paling umum dikenali dalam budaya manusia, Wujudnya gambaran singa mulai usia Paleolitik Akhir dengan ukiran dan lukisan dari gua-gua Lascaux dan Chauvet di Perancis sejak 17,000 tahun dahulu, melalui hampir semua budaya zaman kuno dan pertengahan yang pernah mengenali singa. Singa digambarkan secara meluas dalam bentuk arca, lukisan, bendera, mahupun filem dan sastera moden. Singa dibela dalam kurungan sejak zaman Empayar Rom, malah dijadikan spesies yang "wajib" dipamerkan di zoo seluruh dunia sejak akhir abad ke-18. Taman-taman haiwan seluruh dunia bekerjasama mengadakan program pembiakan untuk singa Asia yang terancam.

Thailand

Thailand, secara rasminya Kerajaan Thailand dan dahulunya Siam (hingga 1939 dan sekali lagi dari 1946 hingga 1948), merupakan sebuah negara di tengah semenanjung Indocina di Asia Tenggara. Ia bersempadan dengan Myanmar di barat laut, Laos dan Kemboja di timur, Teluk Thailand dan Malaysia di selatan, dan Laut Andaman di barat. Sempadan lautnya termasuk Vietnam di tenggara dalam Teluk Thailand, dan Indonesia dan India di barat daya dalam Laut Andaman. Ibu negara dan bandar terbesarnya Bangkok. Dengan kira-kira 69 juta orang, Thailand merupakan negara ke-20 paling ramai penduduk di dunia.

Orang Thai berhijrah dari China barat daya ke tanah besar Asia Tenggara selama berabad-abad lamanya. Sebutan yang paling awal diketahui akan kehadiran mereka di rantau terbabit dengan eksonim Siam terdapat pada prasasti abad ke-12 di kompleks kuil Khmer Angkor Wat di Kemboja yang menyebut orang "syam" atau "perang tua". Kawasan itu pernah dikuasai oleh pelbagai negeri keindiaan seperti kerajaan-kerajaan Mon, Empayar Khmer dan negeri-negeri Melayu, bersaing dengan negeri-negeri Thai seperti Ngoenyang, Sukhothai, Kerajaan Chiang Mai, Lan Na dan Ayutthaya yang juga saling melawan. Orang Eropah tiba pada abad ke-16, bermula dengan misi diplomatik Portugis ke Ayutthaya pada 1511. Abad-abad berikutnya menyaksikan pelbagai kuasa penjajah Eropah merebut wilayah di kawasan Indocina, di mana Thailand kehilangan banyak wilayah kepada Perancis dan British tetapi kekal sebagai satu-satunya negara Asia Tenggara yang terselamat dari penjajahan. Mulai pemerintahan Raja Rama IV pada pertengahan abad ke-19, Thailand menjalankan kempen memodenkan bangsa sejajar dengan piawaian Barat. Ini membawa kepada peralihan daripada pemerintahan raja multak kepada raja berperlembagaan pada 1932. Namun 60 tahun berikutnya menyaksikan pemerintahan tentera dan demokrasi bersilih ganti, dengan rampasan kuasa terbaru pada Mei 2014.

Dengan tahap pembangunan insan yang tinggi, Thailand digolongkan sebagai negara industri baru yang amat bergantung pada eksport, terutamanya jentera-jentera, elektronik, barang makanan, dan alat-alat kereta. Perkilangan, pertanian, dan pelancongan merupakan sektor teraju ekonomi. Ekonominya merupakan yang kedua terbesar di Asia Tenggara dan yang ke-20 terbesar di dunia dari segi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada pariti kuasa beli. Thailand dikira kuasa serantau Asia Tenggara dan "kuasa tengah" dalam hal-ehwal dunia.

Wikijunior

Wikijunior merupakan sebuah subprojek Wikibooks yang mengkhusus dalam buku kanak-kanak. Usaha ini terdiri daripada kedua-duanya sebuah tapak web dan juga sebuah majalah. Tapak web ini kini sedang diusahakan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Denmark, Bahasa Finland, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Itali, Bahasa Jepun, dan Bahasa Sepanyol, tetapi dijangka dalam sekurang-kurangnya 12 bahasa. Wikijunior dibiayai oleh Yayasan John dan Frances Beck.

Kini projek ini sedang mengusahakan tiga siri buku cetakan:

The Natural World (Dunia Semulajadi)

Siri Biologi/Geografi. Siri ini mengandungi tajuk-tajuk: "Big Cats" (Kucing Besar) dan "Dinosaurs".

Our World of People

Siri Budaya/Sejarah/Kehidupan/Masyarakat. Siri ini termasuk: "South America" (Amerika Selatan), "Languages" (Bahasa-bahasa), "Kings and Queens of England" (Raja-raja dan Ratu-ratu England), dan "Ancient Civilizations" (Tamadun Awal).

A World of Discovery and Innovation (Dunia Penemuan dan Inovasi)

Siri Mathematik/Sains/Teknologi. Termasuk: "Solar System" (Sistem Suria), "How Things Work", dan "The Elements" (Unsur-unsur).

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.