Komunisme

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. "Komunisme tulen" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Marx color2
Karl Marx, Pengasas Komunisme.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme. Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang dieksploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum.

Selain Karl Marx, tokoh penting lain adalah Friedrich Engels. Fahaman dominan komunisme seperti Leninisme, Stalinisme, Maoisme dan Trotskyisme adalah berakar dari Marxisme. Akan tetapi wujud juga fahaman bukan Marxisme dalam komunisme seperti komunisme Kristian. Dalam gunaan zaman moden, komunisme selalu merujuk kepada Bolshevisme atau Marxisme-Leninisme.

Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Komunisme juga mempunyai pandangan bahawa "agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat".[1]

Hammer and sickle
Tukul dan sabit (sama dengan yang dipaparkan di bendera Kesatuan Soviet) yang menjadi alat penting golongan pekerja merupakan lambang komunisme.

Ideologi komunisme


Menurut Manifesto Komunis,Komunisme terdiri daripada sepuluh tiang utama[2]:

  1. Penghapusan Hakmilik Persendirian.
  2. Cukai Pendapatan Progresif yang Berat.
  3. Penghapusan Hak Harta Pusaka.
  4. Perampasan Hak Pemilikan Harta.
  5. Kewujudan Bank Pusat.
  6. Sistem Komunikasi dan Pengangkutan Milik Penuh Kerajaan.
  7. Kilang dan Kawasan Pertanian dimiliki Kerajaan.
  8. Golongan Pekerja Dikawal Kerajaan.
  9. Perancangan Serantau dan Perladangan yang Dikorporatkan.
  10. Pendidikan di bawah Kawalan Kerajaan.

Negara komunis

Ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain. Komunisme tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Ini menyebabkan ramai penduduk beragama tidak menyokong komunis. Kerajaan komunis juga sering menindas mereka yang berpegang kepada agama.

Secara rasminya ada 9 buah negara yang pernah ditubuhkan berpegang dengan fahaman komunis:

  1. Kesatuan Soviet (Kesatuan Republik Sosialis Soviet)
  2. China (Republik Rakyat China)
  3. Cuba (Republik Cuba)
  4. Laos (Republik Demokratik Rakyat Laos)
  5. Vietnam (Republik Sosialis Vietnam)
  6. Korea Utara (Republik Demokratik Rakyat Korea)
  7. Yaman Selatan (Republik Demokratik Rakyat Yaman )
  8. Myanmar/Burma (Republik Sosialis Kesatuan Burma)
  9. Kemboja/Kampuchea (Demokratik Kampuchea)

Walau bagaimanapun hanya 5 buah negara yang kekal memerintah di bawah komunis iaitu:

  1. China
  2. Laos
  3. Vietnam
  4. Cuba
  5. Korea Utara

Sungguhpun begitu, fahaman komunis yang diperjuangkan dahulu sudah mula luntur dimamah usia selepas pencetusannya. Hal ini dapat dilihat di Negara China sendiri, polisi pemerintah China terhadap pelabur (kapitalis) dalam segi ekonomi yang dianggap musuh rakyat telah berubah semenjak 90-an lagi. Hal ini dapat dilihat dengan kebanjiran kilang-kilang di dalam negara China sendiri.

Walaupun ramai yang menganggap ideologi komunisme sudah lemah berikutan jatuhnya Kesatuan Republik Soviet pada tahun 1991, namun ideologi itu tetap wujud dalam bentuk sosialisme. Masih terdapat Parti Komunis di negara-negara lain seperti di barat yang memperjuangkan hak pekerja, pelajar dan bersikap anti-penjajah.

Lihat juga

Nota dan rujukan

  1. ^ Luminous: The Spiritual Life on Film, By Mike King
  2. ^ "Communism - Marxism & The Communist Manifesto". AllAboutPhilosophy.org.
1990-an

Dekad 1990-an merupakan tahun-tahun dari 1990 hingga 1999, iaitu antara 3 Jamadilakhir 1410 hingga 23 Ramadan 1420. Kuasa utama yang membentukkan dekad ini termasuk:

Perang Teluk;

pempopularan komputer peribadi dan internet yang menyebabkan pertumbuhan pesat dot com; dan

kemajuan globalisasi, pertumpuan media serta kapitalisme sejagat selepas kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet dan penamatan Perang Sejuk.Walaupun terwujudnya harapan yang optimis selepas kejatuhan komunisme, tindak balas daripada kesan Perang Sejuk baru bermula dan mencetuskan penerusan terorisme di negara-negara Dunia Ketiga (terutamanya di Asia) yang pada suatu masa merupakan barisan hadapan politik asing Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

Walau bagaimanapun, semasa 1990-an ekonomi negara-negara Dunia Pertama seperti Amerika Syarikat, Kanada, Ireland, Australia dan Korea Selatan mengalami pertumbuhan ekonomi yang stabil pada hampir-hampir sepanjang dekad. Selepas kemelesetan 1991-92 dan Rabu Hitam, United Kingdom mengalami pertumbuhan ekonomi selama 51 suku tahun berturutan yang terus-menerus sehingga milenium baru. Negara-negara yang kurang mewah seperti Malaysia juga mengalami kemajuan pesat terhadap kemakmuran ekonomi dan taraf hidup rakyatnya pada dekad 1990-an. Dengan penamatan Perang Sejuk, dekad ini sering dipandang tinggi oleh kebanyakannya orang di banyak negara.

Banyak negara, institusi, syarikat dan organisasi juga menganggap bahawa dekad 1990-an merupakan tempoh yang makmur, iaitu hampir-hampir kesemuanya pulih selepas lama mengalami kegagalan bertahun-tahun. Contoh-contohnya termasuk pemulihan Apple Computer selepas hampir-hampir menjadi bankrap serta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang teknologi yang merangkumi internet, cakera padat dan realiti maya. Minyak dan gas juga ditemui di banyak negara dan jawatan Paus John Paul II mencapai kemuncak.

Walau bagaimanapun, dekad 1990-an juga membawakan pertempuran yang tragik, seperti Perang-perang Balkan, penghapusan bangsa Rwanda, Pertempuran Mogadishu di Somalia dan Perang Teluk pertama.

9 Disember

9 Disember merupakan hari ke-343 (hari ke-344 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory. Tinggal 22 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Hari ini juga merupakan:

Hari Kemerdekaan di Tanzania (1961)

Hari Angkatan Tentera di Peru.

Albania

Albania atau Republik Albania merupakan sebuah negara Mediterranean yang terletak di tenggara Eropah. Ia bersempadan dengan Montenegro di barat laut, Kosovo di timur laut, Makedonia Utara di timur dan Yunani di selatan dan di tenggara. Laut Adriatik terletak di sebelah barat , manakala Laut Ionia di barat daya. Jarak di antara Albania dan Itali adalah 72km, melepasi Selat Otranto yang bersambung dengan Laut Adriatik dan ke Laut Ionia.

Albania ialah anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan di Eropah, Majlis Eropah, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Kesatuan Mediterranean.Albania mempunyai potensi untuk menyertai Kesatuan Eropah sejak Januari 2003.

Pada era globalisasi, Albania menyempunyai banyak titik sejarah dengan negara-negara Rom iaitu Dalmatia (selatan lllyricium), Macedonia (sebahagian Epirus Nova) dan Moesia Superior. Pada zaman moden, Republik Albania ini mendapat kemerdekaan setelah kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di Eropah dengan Perang Balkan. Albania merdeka pada tahun 1912.

Bolshevik

Bolshevik (Bahasa Rusia: большевик, большевист (mufrad)) merupakan kelompok radikal dari Parti Buruh Demokrat Sosial Rusia pimpinan Vladimir I. Lenin yang mengkehendaki cara-cara perubahan secara revolusi dengan pimpinan pusat yang kuat dan teguh. Kelompok ini mendirikan Parti Komunis Kesatuan Soviet pada tahun 1912.

Pada tahun 1917, kelompok Bolshevik bersama kaum buruh dan Pengawal Merah mengambil alih kekuasaan di Rusia yang saat itu dibawah autokrasi Tsar Nikolay II. Peristiwa ini dikenali sebagai Revolusi Oktober, dan merupakan sebahagian dari Revolusi Rusia.

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.

Deklarasi ASEAN

Deklarasi ASEAN atau Deklarasi Bangkok ialah dokumen pengasas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Ia ditandatangani di Bangkok pada 8 Ogos 1967 oleh lima anggota pengasas ASEAN, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand sebagai memaparkan perpaduan terhadap perkembangan komunis di Vietnam dan pemberontakan komunis di sempadan mereka sendiri. Ia menyatakan prinsip-prinsip asas ASEAN: kerjasama, amal, dan bukan gangguan. Tarikh itu kini diraikan sebagai Hari ASEAN.

Harry S. Truman

Harry S. Truman (8 Mei 1884 – 26 Disember 1972) ialah Presiden Amerika Syarikat ke-33 (1945 – 1953). Sebagai Naib Presiden, beliau mewarisi jawatan presiden pada kematian Franklin D. Roosevelt.

Dalam hal-ehwal dalam negeri, Truman menghadapi cabaran demi cabaran: penukaran semula ekonomi yang kacau-bilau dan yang ditandai oleh kekurangan-kekurangan yang amat teruk, mogok-mogok yang sering berlaku, serta pelulusan Akta Taft-Hartley yang tidak mengendahkan vetonya. Selepas mengalahkan semua ramalan ketika memenangi pemilihan semula jawatan presiden pada tahun 1948, Truman tidak berjaya mencapai sebarang pelulusan untuk hampir kesemua rancangan Tawaran Adil. Beliau mempergunakan perintah presiden untuk memulakan desegregasi angkatan tentera Amerika Syarikat dan melancarkan sebuah sistem pemeriksaan kesetiaan untuk memecat beribu-ribu pesimpati komunis dari perkhidmatan awam. Bagaimanapun, beliau mengalami serangan yang berterusan bagi kebanyakan tempoh kepresidenannya kerana dikatakan "terlalu lembut terhadap Komunisme." Lagi satu masalah politik dalam negeri ketika itu ialah tanggapan bahawa ahli-ahli pentadbirannya terlibat dalam rasuah: beratus-ratus orang yang dilantiknya terpaksa meletakkan jawatan, akibat skandal-skandal kewangan yang berturut-turut.

Bagaimanapun, kepresidenan Truman penuh peristiwa dalam hal-ehwal luar negeri, bermula dengan kemenangan terhadap Jerman, pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki, penyerahan kalah oleh Jepun, dan keakhiran Perang Dunia II, serta penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rancangan Marshall untuk membina semula Eropah, Dokrin Truman untuk menyekat Komunisme, permulaan Perang Dingin, penubuhan NATO, dan Perang Korea. Menekankan apa yang dianggap sebagai kegagalan-kegagalan Truman ("Korea! Komunisme! Rasuah!"), Republikan Dwight D. Eisenhower menamatkan 20 tahun pemerintahan Demokrat pada tahun 1952. Semasa dalam persaraan, Truman menulis Memoir, karyanya yang telah dipandang tinggi.

Truman, yang gaya peribadinya amat berbeza dengan ningrat Roosevelt, juga merupakan seorang presiden yang bersikap sederhana dan rendah hati. Beliau mempopularkan frasa-frasa seperti "Tanggungjawab tamat di sini" dan "Jika kamu tidak dapat bertahan daripada haba, keluar dari dapur". Truman telah mengatasi banyak jangkaan rendah terhadapnya oleh pemerhati-pemerhati politik yang membandingkannya (sebagai kurang baik) dengan pendahulu-pendahulunya yang dipandang tinggi.

Walaupun Truman telah dikalahkan dalam kempen pemilihanan semulanya pada tahun 1952 disebabkan kancah di Korea serta tinjauan-tinjauan pendapat yang tidak memuaskan, cendekiawan-cendekiawan pada hari ini menempatkannya sebagai salah satu daripada sepuluh Presiden yang terbaik. Kejujuran dan integritinya, keberanian politik, serta pendirian demokrasi Barat yang kukuh selepas Perang Dunia II, telah menyebabkan beliau mendapat pujian-pujian yang tinggi daripada seluruh lingkungan politik, termasuk ahli konservatif, Senator Barry Goldwater. Kemenangan legendanya yang tidak dijangka pada tahun 1948 kini biasa dipergunakan oleh calon-calon presiden yang tertindas.

Ideologi politik

Ramai parti politik mengatur tindakan dan program mereka berasaskan sebuah ideologi. Dalam kajian sosial, ideologi politik merupakan sekumpulan unggul, prinsip, doktrin, mitos atau simbol etika sesebuah gerakan sosial, institusi, darjat atau golongan yang mengupas cara sesebuah masyarakat berfungsi, serta menyediakan rangka politik atau budaya untuk sebuah order sosial tertentu. Sebahagian besar ideologi politik menjelaskan cara mengagihkan bidang kuasa dan had kuasa yang boleh digunakan.

Ideologi politik mempunyai dua dimensi:

Matlamat: Cara masyarakat berfungsi (atau diatur).

Cara: Cara yang paling sesuai untuk mencapai aturan terunggul itu.Ideologi merupakan sekoleksi idea-idea. Lazimnya, setiap ideologi memounyai idea tentang bentuk kerajaan yang dianggap paling baik (contoh: demokrasi, teokrasi) serta sistem ekonomi yang terbaik (contoh: kapitalisme, sosialisme atau komunisme).

Ideologi juga dikenali melalui kedudukannya dalam spektrum politik (berhaluan kiri, kanan atau tengah), namun pengelasan ini tidak dipersetujui semua pihak. Ideologi juga boleh dibezakan melalui strategi politik (seperti populisme) atau berdasarkan isu tunggal (seperti penentangan terhadap pengintegrasian Eropah, atau pengesahan penggunaan marijuana sebagai sah di sisi undang-undang).

Ketakutan Merah

Ketakutan Merah (Inggeris: Red Scare) ialah pengalakkan ketakutan terhadap kemungkinan kebangkitan komunisme atau pihak radikal kiri. Di Amerika Syarikat, Ketakutan Merah Pertama adalah mengenai revolusi pekerja (sosialis) dan radikal politik. Ketakutan Merah Kedua telah memberi tumpuan pada pengaruh komunis dalam dan luar negara untuk mempengaruhi masyarakat, menyusup ke dalam kerajaan persekutuan, atau kedua-duanya. Di Malaysia, sejurus selepas penubuhan, kerajaan mengambil sikap pro-aktif dalam mengekang gerakan Parti Komunis Malaya (PKM)

Maoisme

Maoisme, dikenali secara rasmi sebagai Fahaman Mao Zedong (Cina Tradisional: 毛澤東思想, Cina Ringkas: 毛泽东思想, pinyin: Máo Zédōng Sīxiǎng), ialah satu bentuk Marxisme diterbitkan dari ajaran pemimpin China iaitu mendiang Mao Zedong (Wade-Giles: "Mao Tse-tung"), yang digunakan secara meluas sebagai ideologi panduan politik dan ketenteraan dalam Parti Komunis China (CPC) mulai kebangkitan Mao mengambil alih kepimpinan sehingga penerimaan Teori Deng Xiaoping dan pembaharuan ekonomi China pada tahun 1978. Maoisme juga digunakan di seluruh dunia pada zaman sekarang. Pertubuhan Maois wujud di Peru, India, dan terutama sekali, Nepal. Ajaran-ajaran asasnya merangkumi perjuangan revolusi majoriti besar rakyat bergelar Perang Rakyat yang melibatkan kaum petani, dan strategi ketenteraanya melibatkan taktik perang gerila yang tertumpu pada pengepungan dari kawasan desa oleh angkatan bersenjata rakyat bukan profesional.

Pada zaman pasca-revolusi, Fahaman Mao Zedong ditakrifkan dalam perlembagaan CPC sebagai "Marxisme-Leninisme yang digunakan dalam konteks China", disintesiskan oleh Mao Zedong dan pemimpin generasi pertama Republik Rakyat China. Fahaman ini menyediakan garis panduan teori serba lengkap terawal bagi CPC yang menyentuh cara-cara meneruskan revolusi sosialis, pembentukan masyarakat sosialis, pembinaan tentera sosialis, serta menekankan pelbagai percanggahan dalam masyarakat untuk diselesaikan melalui "pembinaan sosialis". Ideologi ini kini masih wujud pada nama dalam Perlembagaan Parti Komunis; iaitu dihuraikan sebagai fahaman yang memandu pembentukan "China baru" dan konsep revolusi menentang imperialisme dan feudalisme.Maoisme secara amnya meragui rangka sosialis Kesatuan Soviet di bawah Nikita Khrushchev yang disangka berbentuk revisionisme Komunis. Mengikut tradisi, kebanyakan pengikut Maoisme menganggap Joseph Stalin sebagai pemimpin sosialis sejati yang terakhir di Kesatuan Soviet, namun penilaian Maois mengenai Stalin berbagai-bagai, sama ada amat positif atau bercampur-campur.

Marxisme

Marxsime [mark-sis-me] merupakan aliran pemikiran yang turun daripada pemikiran Karl Marx. Marxisme adalah berhubung rapat dengan manifestasinya iaitu komunisme. Marx menyusun sebuah teori besar yang berkaitan dengan sistem ekonomi, sistem sosial dan sistem politik.

Pada dasarnya, golongan marxisme menganggap bahawa secara objektif, masyarakat manusia adalah suatu masyarakat yang terdiri daripada golongan menindas dan golongan ditindas. Ketidakadilan ini menurut marxisme adalah berakar pada sistem sosial manusia sendiri secara objektif, dan bukan disebabkan oleh faktor subjektif sperti moral dan budaya.

Mikhail Gorbachev

Mikhail Sergeyevich Gorbachev (Михаи́л Серге́евич Горбачёв, IPA: [mʲɪxɐˈil sʲɪrˈgʲeɪvʲɪʨ gərbɐˈʨof]; lahir 2 Mac 1931) ialah seorang ahli politik Rusia. Beliau ialah Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet dan juga ketua negara KRSS paling akhir, yang berkhidmat sejak tahun 1985 sehingga tumbangnya negara itu pada tahun 1991. Usaha-usaha pembaharuan (perestroika) dan ketelusan (glasnost) beliau, serta persidangan kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan, menyumbang kepada berakhirnya Perang Dingin, dan juga menamatkan kebesaran politik Parti Komunis Kesatuan Soviet serta membawa kepada pembubaran Kesatuan Soviet. Beliau dikurniakan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1990, dan kini merupakan pemimpin Kesatuan Demokrat Sosial, sebuah parti politik yang diasaskan selepas pembubaran rasmi Parti Demokratik Sosial Rusia pada tahun 2007.

Mongolia

Mongolia disebut /mɒŋˈɡoʊliə/; Bahasa Mongolia: Audio, secara harfiah Negara Mongol, merupakan negara tanpa pantai atau laut kedua terbesar di Asia Timur dan Asia Tengah. Bersempadan dengan negara Rusia di utara dan China di selatan. Mongolia mengamalkan sistem politik demokrasi berparlimen. Ibu negara dan bandar terbesarnya adalah Ulaanbaatar.

Mongolia adalah pusat Empayar Mongol di kurun ke-13 dan adalah kemudiannya diperintah oleh Dinasti Manchu dari abad 17 sehingga 1911. Merdeka dengan bantuan negara Rusia pada 1924. Dasar komunis mirip Rusia dilaksanakan pada peringkat awal. Apabila komunisme runtuh 1989, Mongolia meninggalkan komunisme dan mendokong perlembagaan demokratik mulai 1992. Jadi Mongolia merupakan negara pengamal demokratik termuda.

Keluasan 1,564,116 km persegi, Mongolia merupakan negara ke-19 terbesar di dunia.Kebanyakan muka buminya gersang dan kontang, tidak produktif dan dipenuhi rumput steppe , gunung-gunung di sebelah utara dan barat. Gurun Gobi merupakan padang pasir yang luas di sebelah selatan. 30 % penduduknya hidup secara nomad iaitu hidup berpindah-randah dengan membawa khemah dan sedikit peralatan untuk kelangsungan hidup. Majoriti penduduk beragama Buddha Tibet. Etniknya terdiri daripada Mongol, Buriat, Kazakh dan Tuvan tinggal di barat. Satu pertiga penduduk tinggal di Ulaanbaatar.

Negara komunis

Negara komunis merupakan istilah digunakan oleh ramai ahli-ahli sains politik bagi menggambarkan satu bentuk kerajaan negara yang berbentuk sistem satu parti dan mengisytiharkan taat setia kepada Marxisme-Leninisme dan terbitannya. Negeri-negeri komunis mungkin mempunyai beberapa majlis politik undang-undang, tetapi parti komunis adalah menurut perlembagaan dijamin mendapat peranan besar dalam kerajaan.

Nikita Khrushchev

Nikita Sergeyevich Khrushchev Bahasa Rusia: Никита Сергеевич Хрущёв, (April 15, 1894 – September 11, 1971) merupakan pemimpin Kesatuan Soviet antara 1953 sehingga 1964. Beliau adalah Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet, jawatan yang didahului oleh Joseph Stalin, dan terkenal dengan polisi "De-Stalinisation" yang mengkritik cara pemimpinan Joseph Stalin, Program Angkasa Soviet dan juga beberapa lagi reformasi-reformasi dalam negara yang liberal. Khrushchev digulingkan dari jawatannya oleh ahli-ahli pari komunis yang lain pada tahun 1964 dan digantikan oleh Leonid Brezhnev yang sering menentang polisi-polisi reformasi beliau.

Pakatan Warsaw

Pakatan Warsaw atau Pertubuhan Perjanjian Warsaw, rasminya bernama Perjanjian Persahabatan, Kerjasama dan Bantuan Mutual (Bahasa Rusia: Договор о дружбе, сотрудничестве и взаимной помощи), merupakan perikatan ketenteraan untuk negara komunis Eropah Tengah dan Eropah Timur. Perikatan ini ditubuhkan pada 14 Mei 1955 di Warsaw, Poland, demi menentang ancaman berkemungkinan oleh NATO dan juga sebagai tindak balas terhadap integrasi Jerman Barat yang "ditenterakan kembali" ke dalam NATO pada 9 Mei 1955 akibat ratifikasi Perjanjian Damai Paris. Pakatan ini berkekal sepanjang Perang Dingin sehingga beberapa negara-negara ahli bermula menarik diri pada tahun 1989, diikuti oleh keruntuhan Blok Timur dan perubahan politik di Kesatuan Soviet. Perjanjian ini ditandatangani pada 14 Mei 1955, dan salinan rasmi dibuat dalam Bahasa Rusia, Bahasa Poland, Bahasa Czech dan Bahasa Jerman.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Bahasa Inggeris: North Atlantic Treaty Organisation, NATO; Bahasa Perancis: Organisation du Traité de l'Atlantique Nord, OTAN) merupakan perikatan ketenteraan antara beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat. NATO ditubuhkan pada 4 April 1949 dengan Perjanjian Atlantik Utara. Negara-negara ahlinya bersetuju bekerjasama dari segi ketenteraan kalau salah satu daripada ahlinya diserang.

Republik Rakyat Hungary

Republik Rakyat Hungary (Bahasa Hungary: Magyar Népköztársaság) adalah nama rasmi Hungary sejak 1949 hingga 1989 ketika negara tersebut dikuasai oleh pemerintahan komunis yang disokong oleh Kesatuan Soviet. Negara ini ada hingga tahun 1989 ketika kekuatan pembangkang bersatu untuk memaksa kerajaan meninggalkan komunisme. Negara ini menganggap dirinya sebagai penerus Republik Soviet Hungary yang dibentuk pada tahun 1919 dan merupakan negara sosialis kedua yang dibentuk selepas Republik Sosialis Persekutuan Soviet Rusia.

Sosialisme

Sosialisme merupakan teori atau sistem organisasi sosial dan ekonomi di mana salah satu ciri utamanya adalah sumber kekayaan negara dinikmati bersama oleh seluruh rakyat secara sama rata.

Spektrum politik

Spektrum politik ialah sistem pengelasan fahaman politik yang berbeda-beda berdasarkan satu atau lebih paksi geometrik yang mewakili dimensi politik yang berasingan.Spektrum ini diukur dari "sayap kanan" di satu hujung ke "sayap kiri" d satu hujung yang lain (berdasarkan kedudukan puak politik yang bersidang dalam Parlimen Perancis ketika pembentukannya selepas berlakunya Revolusi Perancis dari tahun 1789 sehingga tahun 1799. Fahaman-fahaman komunisme dan sosialisme terletak di sayap kiri manakala konservatisme dan kapitalisme terletak di sebelah kanan. Liberalisme ditakrifkan mengikut konteks yang berbeza-beza, sama ada ke kiri (misalnya liberalisme sosial) atau dalam libertarianisme (liberalisme klasik). Golongan yang berfahaman antara kedua-dua sayap ini dikelaskan dalam ruang sentrisme or moderat.

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.