Kapitalisme

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga termasuk sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin. Sistem yang bertentangan dengan ideologi ini ialah komunisme dan sosialisme.

Kapitalisme berasal dari perkataan kapital (bahasa Inggeris: capital) yang bermaksud "modal". Istilah kapitalisme mula diperkenalkan pada pertengahan abad ke-19 oleh Karl Marx, pengasas komunisme. Pasaran bebas dan sistem pasaran adalah antara istilah yang sering bertukar ganti dengan kapitalisme untuk menerangkan ekonomi moden bukan komunis.

Amalan ekonomi kapitalis mengukuh di England di antara kurun ke-16 Masehi dan ke-19 Masehi. Walau bagaimanapun telah wujud ciri-ciri kapitalis sejak dulu lagi terutamanya di kalangan saudagar Zaman Pertengahan.[1] Kapitalisme menjadi dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme.[1] Dari England, kapitalisme merebak ke seluruh Eropah dan pada abad ke-19 dan 20, dan menjadi sistem ekonomi utama dunia yang menggerakkan era perindustrian.[2]

Asal

Kapitalisme Islam

Asas asal kapitalisme dan pasaran bebas boleh dijejak kembali pada Zaman Keemasan Islam dan Revolusi Pertanian Islam,[3] di mana ekonomi pasaran pertama dan bentuk awal kapitalisme perdagangan mula berakar di antara kurun ke-8 dan ke-12. Sesetengah sarjana merujuknya kepada “Kapitalisme Islam”.[4] Orang Islam telah mewujudkan satu sistem ekonomi monetari dengan mengembangkan sistem pengedaran mata wang bernilai tinggi yang stabil (seperti dinar) dan menyepadukan bidang monetari yang dulunya bebas. Sementara itu teknik baru perniagaan dan bentuk organisasi yang inovatif diperkenalkan oleh pakar ekonomi, pedagang dan peniaga pada masa itu. Di antara inovasi ini termasuk syarikat dagang, perniagaan yang besar, kontrak, pertukaran bil, perdagangan antarabangsa jarak jauh, perkongsian (mufawada) seperti mudharabah, dan bentuk awal hutang kredit, keuntungan, kerugian, modal (al-mal), pengumpulan modal, amanah (wakaf), syarikat permulaan, akaun simpanan, pajakan, juru bank, penukar mata wang, lejer,[5] dan saman[6]. Konsep perusahaan yang sama seperti syarikat yang bebas daripada campurtangan negara juga telah wujud pada zaman pertengahan Islam, sementara institusi agensi juga ditubuhkan. Banyak daripada konsep awal kapitalis ini diambil pakai dan dibangunkan oleh Eropah dari kurun ke-13 dan seterusnya.

Sistem kontrak yang bergantung kepada pedagang juga sangat berkesan. Pedagang akan membeli dan menjual atas komisyen, dengan wang yang dipinjamkan kepada mereka oleh pelabur kaya, atau pelaburan bersama beberapa pedagang, yang selalunya mereka terdiri daripada orang Islam, Kristian dan Yahudi. Perkongsian perniagaan akan dibuat untuk banyak penerokaan komersil, dan pertalian yang erat membolehkan rangkaian dagangan terbentuk dalam jarak yang luas. Rangkaian yang terbina pada masa ini membolehkan sebuah dunia di mana wang dijanjikan oleh sebuah bank di Baghdad dan ditunaikan di Sepanyol, yang membawa kepada sistem cek seperti pada hari ini. Setiap kali barangan melepasi bandar-bandar dalam rangkaian luar biasa ini, bandar akan mengenakan cukai, menyebabkan harga tinggi apabila mencapai destinasi terakhir. Inovasi yang dibuat oleh orang Islam dan Yahudi membentuk asas kepada sistem ekonomi.

Di Eropah

Kapitalisme sebagai sistem ekonomi yang difahami bermula di Eropah pada kurun ke-13, menjelang akhir zaman feudal. Manusia itu, kata Adam Smith, sentiasa ada kecenderungan untuk "mengangkut dan menukar barang kepada barang lain." Kecenderungan kepada perdagangan dan pertukaran ini digalakkan oleh beberapa siri Perang Salib dari kurun ke-11 hingga ke-13. Penerokaan bangsa Eropah pada kurun ke-15 dan ke-16 menguatkan dorongan kepada perniagaan dan perdagangan, terutama berikutan kebanjiran logam berharga yang masuk ke Eropah selepas penerokaan dan penawanan Dunia Baru. Aturan ekonomi yang muncul dari peristiwa-peristiwa ini pada dasarnya bersifat komersil iaitu tumpuan lebih kepada pertukaran barangan daripada pengeluaran. Penekanan kepada pengeluaran tidak berlaku hingga kebangkitan perindustrian pada kurun ke-19.

Sebelum masa itu, akan tetapi, satu unsur penting dalam sistem kapitalis muncul: usahawan atau pengambil risiko. Unsur penting dalam kapitalisme adalah menjalankan aktiviti dengan jangkaan yang ia akan menghasilkan keuntungan pada masa depan. Kerana masa depan tidak diketahui, kedua-dua risiko kerugian dan keuntungan wujud. Jangkaan risiko ini adalah salah satu peranan khusus yang dimainkan oleh seorang usahawan.

Gerakan ke arah kapitalisme dari kurun ke-13 dan seterusnya dikuatkan lagi oleh Renaisans dan Reformasi. Perkembangan besar ini mengubah masyarakat dan membuka jalan kepada kemunculan negara-bangsa moden, yang kemudian membawa kepada keamanan, peraturan, dan undang-undang yang penting bagi pertumbuhan kapitalisme. Pertumbuhan ini dicapai melalui pengumpulan lebihan ekonomi oleh usahawan dan pelaburan semula lebihan ini ke dalam sistem untuk pengembangan. Tanpa keamanan, stabiliti dan kesinambungan, proses ini tidak boleh berlaku.

Merkantilisme

Dari kurun ke-15 hingga ke-18, dengan kelahiran negara-bangsa, kapitalisme yang berkembang bukan hanya berbaur komersil tetapi ke arah merkantilisme. Bentuk ini mencapai tahap tertinggi di England.

Sistem merkantilis lebih kepada harta persendirian dan penggunaan pasaran untuk aktiviti ekonomi mudah. Tumpuan utama merkantilisme adalah kepentingan negara dan bukan individu pemilik sumber ekonomi. Pada era merkantilis, tujuan utama dasar ekonomi adalah menguatkan negara dan agendanya. Untuk itu, kerajaan mengawal kuat aktiviti pengeluaran, pertukaran dan penggunaan barang.

Ciri paling menonjol merkantilisme adalah kesibukan negara mengumpul kekayaan dalam bentuk emas dan perak. Kerana kebanyakan negara tidak mempunyai sumber asli yang banyak bagi logam berharga ini, cara terbaik mendapatkannya adalah melalui perdagangan. Ini bermakna berusaha ke arah imbangan perdagangan yang menguntungkan iaitu lebih ekport daripada import. Negara luar akan membayar import dalam bentuk emas dan perak. Negara merkantalis juga lebih gemar mengekalkan upah rendah kerana percaya ini akan tidak menggalakkan import dan menyumbang kepada lebihan eksport. Seterusnya menambahkan lagi emas yang masuk ke dalam kantung negara.

Akan tetapi, kekayaan sebenar sesebuah negara tidak bergantung kepada banyaknya emas dan perak, tetapi kemampuannya dalam pengeluaran. Emas dan perak yang banyak diperoleh dari imbangan perdagangan akan menjadi perangsang kepada aktiviti ekonomi secara umum, membolehkan negara mengenakan lebih cukai dan mendapat lebih perolehan. Tetapi hanya beberapa negara yang mengamalkan merkantilisme memahami prinsip ini.

Membeli, menjual, bekerja dan menggaji

AdamSmith
Adam Smith, pelopor sistem ekonomi kapitalisme atau pasaran bebas melalui bukunya The Wealth of Nations.

Dalam kapitalisme, kita berhak menjual atau meminjamkan barang atau perkhidmatan dan orang lain juga berhak membeli atau meminjam barang atau perkhidmatan tersebut. Masyarakat dalam ekonomi kapitalis yang tulen tidak perlu mendapat izin daripada raja atau kumpulan tertentu. Konsep ekonomi kapitalis diperkenalkan oleh Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations.

Perkataan modal (capital) merujuk kepada barang atau wang yang dipunyai oleh seseorang dan boleh digunakan untuk mengeluarkan lebih banyak barang atau mendapat lebih banyak wang. Sebagai contoh tanah, kilang, alatan, kedai dan mesin adalah modal. Jika seseorang mempunyai wang yang boleh dilabur, ini dipanggil modal juga. Mereka yang mempunyai modal ini dipanggil kapitalis (mereka yang menyokong dasar kapitalisme juga digelar kapitalis). Mereka boleh menggaji pekerja untuk bekerja di kedai, kilang atau tanah.

Dalam kapitalisme, kebanyakan orang adalah golongan pekerja (atau proletariat). Mereka tidak mempunyai modal dan mesti bekerja untuk menyara hidup. Seseorang boleh memilih untuk bekerja dengan sesiapa sahaja dalam pasaran bebas. Kerajaan tidak memberitahu individu kerja apa harus dibuat, juga tidak melarang individu dari melakukan sesuatu pekerjaan.

Konsep ini berbeza dengan sistem ekonomi lain seperti feudalisme, di mana seseorang bekerja untuk tuan tanah mereka.

Pelaburan

Dalam kapitalisme terdapat konsep pelaburan. Individu-individu boleh mengumpulkan duit bersama untuk membina atau membeli sesuatu dan mereka ini adalah tuan punya benda yang dilaburkan. Dalam pasaran saham, mereka boleh membeli dan menjual saham.

Pelaburan adalah ciri penting kapitalisme. Perkataan kapitalis boleh merujuk kepada mereka yang melabur, contohnya mereka yang mencari risiko untuk melabur dalam perniagaan baru (venture capitalist).

Mereka yang memulakan perniagaan atau melabur dalam perniagaan boleh mendapat banyak wang atau dipanggil keuntungan. Mereka kemudiannya boleh melaburkan keuntungan dalam perniagaan lain atau membesarkan perniagaan sedia ada.

Kritikan terhadap kapitalisme

Golongan sosialis dan komunis adalah antara mereka yang menentang kapitalisme. Mereka mengatakan kapitalisme menjejaskan golongan pekerja kerana golongan kapitalis mendapat lebih banyak keuntungan sedangkan golongan pekerja mendapat gaji yang tidak setimpal. Wujudnya jurang yang luas kaya dan miskin serta mereka yang miskin dan bertambah miskin.

Karl Marx seorang pemikir komunis dari German dalam bukunya Das Kapital (The Capital) menulis bahawa kapitalisme hanya dapat disingkirkan apabila golongan pekerja mengambil alih kerajaan melalui revolusi. Selain itu, sistem ekonomi ini dulunya dianut oleh negara miskin dan kekurangan sumber daya alam (SDA) dan sumber daya manusia (SDM).

Golongan kapitalis

Terdapat pelbagai label untuk penyokong sistem kapitalisme. Di beberapa bahagian di dunia, mereka dikenali sebagai liberal. Di Amerika Syarikat dan beberapa tempat, mereka yang menyokong kapitalisme dipanggil libertarian.

Mereka yang menyokong kapitalisme juga mempunyai perbezaan pendapat. Kebanyakan orang bersetuju bahawa kapitalisme akan berfungsi dengan baik dengan kawalan kerajaan. Di kebanyakan negara, kerajaan berusaha supaya urus niaga jual beli berjalan dengan adil dan tidak menindas pekerja. Apabila terdapat campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi pasaran, ini dipanggil "ekonomi campuran" dan bukannya sistem kapitalisme yang tulen.

Pautan luar

Nota kaki

  1. ^ a b Capitalism. Encyclopedia Britannica. 2006.
  2. ^ Scott, John (2005). Industrialism: A Dictionary of Sociology. Oxford University Press.
  3. ^ The Cambridge economic history of Europe, hal. 437. Cambridge University Press, ISBN 0-521-08709-0.
  4. ^ Subhi Y. Labib (1969), "Capitalism in Medieval Islam", The Journal of Economic History 29 (1), hal. 79–96 [81, 83, 85, 90, 93, 96].
  5. ^ Subhi Y. Labib (1969), "Capitalism in Medieval Islam", The Journal of Economic History 29 (1), hal. 79–96 [92–3].
  6. ^ Ray Spier (2002), "The history of the peer-review process", Trends in Biotechnology 20 (8), hal. 357-358 [357].
1990-an

Dekad 1990-an merupakan tahun-tahun dari 1990 hingga 1999, iaitu antara 3 Jamadilakhir 1410 hingga 23 Ramadan 1420. Kuasa utama yang membentukkan dekad ini termasuk:

Perang Teluk;

pempopularan komputer peribadi dan internet yang menyebabkan pertumbuhan pesat dot com; dan

kemajuan globalisasi, pertumpuan media serta kapitalisme sejagat selepas kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet dan penamatan Perang Sejuk.Walaupun terwujudnya harapan yang optimis selepas kejatuhan komunisme, tindak balas daripada kesan Perang Sejuk baru bermula dan mencetuskan penerusan terorisme di negara-negara Dunia Ketiga (terutamanya di Asia) yang pada suatu masa merupakan barisan hadapan politik asing Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

Walau bagaimanapun, semasa 1990-an ekonomi negara-negara Dunia Pertama seperti Amerika Syarikat, Kanada, Ireland, Australia dan Korea Selatan mengalami pertumbuhan ekonomi yang stabil pada hampir-hampir sepanjang dekad. Selepas kemelesetan 1991-92 dan Rabu Hitam, United Kingdom mengalami pertumbuhan ekonomi selama 51 suku tahun berturutan yang terus-menerus sehingga milenium baru. Negara-negara yang kurang mewah seperti Malaysia juga mengalami kemajuan pesat terhadap kemakmuran ekonomi dan taraf hidup rakyatnya pada dekad 1990-an. Dengan penamatan Perang Sejuk, dekad ini sering dipandang tinggi oleh kebanyakannya orang di banyak negara.

Banyak negara, institusi, syarikat dan organisasi juga menganggap bahawa dekad 1990-an merupakan tempoh yang makmur, iaitu hampir-hampir kesemuanya pulih selepas lama mengalami kegagalan bertahun-tahun. Contoh-contohnya termasuk pemulihan Apple Computer selepas hampir-hampir menjadi bankrap serta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang teknologi yang merangkumi internet, cakera padat dan realiti maya. Minyak dan gas juga ditemui di banyak negara dan jawatan Paus John Paul II mencapai kemuncak.

Walau bagaimanapun, dekad 1990-an juga membawakan pertempuran yang tragik, seperti Perang-perang Balkan, penghapusan bangsa Rwanda, Pertempuran Mogadishu di Somalia dan Perang Teluk pertama.

Anarkisme

Anarkisme merupakan suatu falsafah dan cara hidup yang menolak pemaksaan kedaulatan sesuatu kerajaan ke atas seseorang. Di dalam erti makna yang lebih besar, anarkisme menolak kerajaan yang berasaskan paksaan ataupun yang berjangka panjang. Pemikiran ini juga menyokong pemansuhan kerajaan. Anarkisme merupakan satu fahaman yang percaya bahawa kerajaan adalah satu badan yang berbahaya dan tidak diperlukan oleh individu dan masyarakat. Frasa anarkisme berasal dari perkataan Yunani αναρχία yang secara harfiah bermaksud tanpa "archons", tanpa pemerintah.Anarkisme mempunyai pelbagai jenis dan tradisi yang berlainan dari pelbagai sudut tetapi bukan semua tradisi itu wujud berasingan. Tiada satu fahaman yang boleh menjelaskan falsafah yang dipegang oleh kesemua para anarkis dan para anarkis secara mutlaknya hanya mempunyai kesamaan yang kurang jelas. Anarkis-anarkis yang berbeza pendapat mengemari beberapa sistem ekonomi. Ramai yang menyokong satu sistem yang merupai komunisme libertarian, anarkisme kolektivis atau "participatory economics". Sebahagian lain menyokong pasaran bebas seperti yang diperkatakan di dalam mutualisme, agorisme atau kapitalisme anarkis. Para anarkis mungkin mempunyai perbezaan dari segi pokok dengan memperjuangkan falsafah-falsafah dari individualisme ke kolektivisme.

Budaya kapitalisme

Budaya Kapitalis adalah terma yang digunakan untuk merujuk kepada beberapa perkara; cara hidup rakyat yang hidup di dalam masyarakat kapitalis, kesan ekonomi kapitalis secara global atau negara terhadap penduduk, dan pemikiran perniagaan yang diterapkan terhadap individu yang memakmurkan sistem ekonomi kapitalis.Ciri-ciri utama pemikiran ini adalah kepercayaan terhadap segala aktiviti perniagaan yang melibatkan pencarian keuntungan secara maksima tanpa atau sedikit campurtangan dari kerajaan dan masyarakat. Aktiviti perniagaan adalah keutamaan bagi sistem manakala kerajaan bukanlah penggerak utama dalam sistem tetapi sekadar berfungsi sebagai penyokong terhadap aktiviti perniagaan serta meningkatkan fungsi-fungsi yang dapat menyumbang kepada peningkatan aktiviti perniagaan.

Bulgaria

Bulgaria (disebut /bʌlˈɡɛəriə/ ( dengar); Bahasa Bulgaria: България, disebut [bəlˈɡarija]), secara rasmi digelar Republik Bulgaria (Република България, [Republika Bulgaria] , [rɛˈpublika bəlˈɡarija]), ialah sebuah negara di Balkan di Eropah tenggara. Ia menyempadani lima buah negara, iaitu:

Romania di utara (sebahagian besar pada sepanjang Sungai Danube);

Serbia dan Makedonia Utara di barat; dan

Greece dan Turki di selatan.Laut Hitam mentakrifkan takat negara di timur.

Bulgaria merangkumi bahagian-bahagian Moesia, Thrace, dan Macedonia yang merupakan provinsi-provinsi Rom.

Cukai

Untuk tempat di Terengganu, lihat Chukai.Cukai ialah biaya yang dibayar oleh individu atau syarikat kepada pemerintah.

Cara pengumpulan cukai dan bagaimana penggunaan wang cukai tersebut adalah bahan pembicaraan panas dalam politik dan ekonomi.

Bidang sains politik/ekonomi yang membahaskan cukai ialah kewangan umum.

Demokrasi sosial

Demokrasi sosial merupakan ideologi politik yang menggabungkan sosialisme dengan unsur-unsur kapitalisme yang dianggap sesuai. Ideologi ini juga ditakrifkan sebagai bentuk demokrasi yang mampu menyelesaikan masalah-masalah kapitalisme.

Fahaman ini asalnya mendokong peralihan yang aman dan beransur daripada sistem kapitalisme kepada sosialisme menggunakan kaedah politik yang seida ada berbanding peralihan cara mendadak (melalui sosialisme berevolusi) yang dikaitkan dengan Marxisme ortodoks.Demokrasi sosial moden bercirikan suatu komitmen kepada polisi-polisi menghindari ketidaksamaan, penindasan of kelompok yang kurang berpeluang dan miskin, termasuk menyokong perkhidmatan awam yang boleh digunakan orang ramai penjagaan warga tua dan kanak-kanak, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pampasan untuk pekerja.

Ekonomi Cuba

Sistem ekonomi Cuba diselaras secara terancang dan didominasi oleh perusahaan yang dikawal selia kerajaan. Kebanyakan pengeluaran dan tenaga kerjanya dimiliki serta diuruskan oleh kerajaan. Bagaimanapun kebelakangan ini kerajaan menggalakkan bentuk kerjasama dan perusahaan persendirian. Kerajaan menetapkan kebanyakan harga barangan dan pengagihan bekalan makanan pada rakyatnya. Rakyat Cuba menerima agihan keperluan makanan setiap bulan dan dibenarkan membeli melalui pusat agihan dipanggil "bondega" atau kedai yang mengedarkan bekalan ini. Cuba antara pengeluar utama tebu dan tembakau. Pengeluaran gula Cuba merangkumi satu pertiga daripada jumlah pengeluaran industri negara. Ia juga mewakili 80 peratus nilai eksport Cuba. Namun akibat daripada kejatuhan Kesatuan Soviet, Blok Timur dan sekatan ekonomi Amerika Syarikat, ekonomi Cuba terjejas teruk. Oleh itu, Cuba mula memperkenalkan bentuk pasaran terbuka pada tahun 1993 dalam sebahagian bidang perniagaan bagi membeli prospek baharu. Sedikit demi sedikit negara Cuba mula mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Ekonomi campuran

Ekonomi campuran adalah sistem ekonomi yang menggabungkan lebih dari satu aspek sistem ekonomi. Lazimnya, ekonomi campuran mengandungi unsur kapitalisme dan sosialisme.

Tiada satu definisi untuk ekonomi campuran tetapi aspek penting adalah darjah kebebasan ekonomi persendirian (termasuk pemilikan industri secara persendirian) bercampur aduk dengan ekonomi terancang (termasuk campur tangan untuk kebajikan sosial, pemuliharaan alam sekitar, atau pemilikan aset atau sumber pengeluaran oleh negara).

Dari segi praktiknya, banyak negara daripada Amerika Syarikat kepada Cuba mengamalkan sistem ekonomi yang boleh ditakrifkan sebagai ekonomi campuran.

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.

Globalisasi

Globalisasi, walau dikatakan punca banyak gelora and perubahan, mempunyai maksud kesan kolektif perubahan itu sendiri. Globalisasi (secara khusus perubahan yang kita lihat dalam kilang, kedai, dan seluruh spektra ekonomi dan cara kehidupan kita) adalah disebabkan pergerakan empat bentuk

modal dalam ekonomi global. Keempat-empat modal ini adalah:

Modal pekerja (Imigrasi, Migrasi, Emigrasi, Penghantaran pulang, dll.)

Modal kewangan (Bantuan, Ekuiti, Hutang, Miutang, Pinjaman, dll.)

Modal sumber (Tenaga, Besi, Mineral, Kayu, dll.)

Modal kuasa (Ketenteraan, Perikatan, Pakatan, dll.)Kebanyakan tekanan dan kekompleksan yang dihadapi adalah dalam hal ehwal macro negara, masyarakat, dan interaksi antara mereka, boleh didasarkan kepada empat pergerakan ini. Perhubungan yang dipermudah dengan kos telekomunikasi dan perjalanan yang lebih rendah memungkinkan lebih ramai bilangan manusia kini, berbanding masa lampau, berinteraksi dengan situasi yang tidak pernah dipertanding dalam sejarah. Perbezaan budaya dan politik di semua peringkat berlaku dan boleh diterangkan sebagai perbezaan pendapat antara dua atau lebih pihak tentang asas, layanan, masa, milikan atau harga satu atau lebih pergerakan modal.

Ideologi politik

Ramai parti politik mengatur tindakan dan program mereka berasaskan sebuah ideologi. Dalam kajian sosial, ideologi politik merupakan sekumpulan unggul, prinsip, doktrin, mitos atau simbol etika sesebuah gerakan sosial, institusi, darjat atau golongan yang mengupas cara sesebuah masyarakat berfungsi, serta menyediakan rangka politik atau budaya untuk sebuah order sosial tertentu. Sebahagian besar ideologi politik menjelaskan cara mengagihkan bidang kuasa dan had kuasa yang boleh digunakan.

Ideologi politik mempunyai dua dimensi:

Matlamat: Cara masyarakat berfungsi (atau diatur).

Cara: Cara yang paling sesuai untuk mencapai aturan terunggul itu.Ideologi merupakan sekoleksi idea-idea. Lazimnya, setiap ideologi memounyai idea tentang bentuk kerajaan yang dianggap paling baik (contoh: demokrasi, teokrasi) serta sistem ekonomi yang terbaik (contoh: kapitalisme, sosialisme atau komunisme).

Ideologi juga dikenali melalui kedudukannya dalam spektrum politik (berhaluan kiri, kanan atau tengah), namun pengelasan ini tidak dipersetujui semua pihak. Ideologi juga boleh dibezakan melalui strategi politik (seperti populisme) atau berdasarkan isu tunggal (seperti penentangan terhadap pengintegrasian Eropah, atau pengesahan penggunaan marijuana sebagai sah di sisi undang-undang).

Komunisme

Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. "Komunisme tulen" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai ideologi politik, komunisme dianggap sebagai satu cabang sosialisme; satu falsafah luas berkenaan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh pelbagai gerakan politik dan intelektual dengan asalnya dari hasil kerja mereka pada Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis. Komunisme cuba untuk memberi satu alternatif kepada masalah dalam ekonomi pasaran kapitalisme dan warisan penjajahan dan nasionalisme. Marx menyatakan hanya satu jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah bagi golongan pekerja (proletariat), yang menurut Marx adalah pengeluar utama kekayaan dalam masyarakat yang dieksploitasi oleh kelas kapitalis (borjuis), menolak golongan borjuis ini daripada kelas pemerintah bagi menubuhkan masyarakat bebas tanpa pembahagian kelas dan kaum.

Selain Karl Marx, tokoh penting lain adalah Friedrich Engels. Fahaman dominan komunisme seperti Leninisme, Stalinisme, Maoisme dan Trotskyisme adalah berakar dari Marxisme. Akan tetapi wujud juga fahaman bukan Marxisme dalam komunisme seperti komunisme Kristian. Dalam gunaan zaman moden, komunisme selalu merujuk kepada Bolshevisme atau Marxisme-Leninisme.

Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Komunisme juga mempunyai pandangan bahawa "agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat".

Merkantilisme

Merkantilisme adalah satu teori ekonomi yang sudah lupus yang mempercayai bahawa kesejahteraan sesuatu negara hanya ditentukan oleh jumlah modal yang tersimpan di mana jumlah perdagangan sedunia sebagai tidak berubah. Modal negara dapat digambarkan secara nyata dengan jumlah modal seperti mineral berharga, emas mahupun komoditi-komoditi lain yang dimiliki oleh negara. Modal ini boleh diperbesarkan jumlahnya dengan meningkatkan eksport dan mengurangkan import supaya nilai bersih perdagangan luar sentiasa positif. Pemerintahan suatu negara harus mencapai tujuan ini dengan melakukan perlindungan terhadap ekonomi dengan mendorong eksport dan mencegah import.

Teori ini mula dibina di dalam Zaman Moden Awal yang boleh diletakkan di antara kurun ke-16 and ke-18. Pada masa yang sama, falsafah mengenai negara bangsa sangat berpengaruh di Eropah. Kehadiran kedua-dua pendapat yang dominan saling menperkuatkan di antara satu sama lain dan seterusnya mengadakan justifikasi untuk campur tangan kerajaan di dalam pasaran. Falsafah kapitalisme dan imperialisme boleh menjejak permulaan masing-masing daripada pemikiran merkantilisme. Gabungan hampir kesemua pemikiran-pemikiran ini akhirnya menyebabkan peperangan berlaku di antara negara-negara Eropah apabila mereka cuba untuk menguasai pasaran asing yang masih bebas daripada pengaruh masing-masing. Di bawah sistem merkantislime, penguasaan dan kemudiannya pembesaran pasaran akan membawa kesejahteraan kepada sesuatu negara.

Pengaruh pemikiran merkantilisme mula berkurangan di akhir abad ke-18 apabila Empayar British dan beberapa kerajaan Eropah yang lain mula mengambil nasihat dari Adam Smith serta ahli-ahli ekonomi yang mempunyai pendirian liberalisme klasikal. Negara Jerman walau bagaimanapun tidak menerima falsafah liberalisme klasikal dengan memilih untuk berkiblatkan mazbah ekonomi yang lain. Di kalangan jajahan British, ekonomi Amerika Syarikat mula berasakan neo-merkantilisme yang boleh dilihat di dalam falsafah mazhab Amerika serta polisi-polisi pentadbiran Hamilton, Clay, Lincoln dan Parti Republikan (Amerika Syarikat) secara amnya. Pandangan parti politik tersebut berasal dari polisi-polisi yang dipergunakan oleh Jerman serta pendapat ahli ekonomi Friedrich List. Pendirian ekonomi Amerika Syarikat hanya berubah pada tahun 1930-am apabila program [New Deal]] diperkenalkan.

Merkantislime sekarang telah ditolak sebagai lapuk oleh kebanyakan ahli ekonomi di masa sekarang. Walau bagaimanapun, sesetengah bahagian merkantislisme masih hidup dan diperdebatan dalam bidang ekonomi.

Neokolonialisme

Neokolonialisme (juga Neoimperialisme) ialah amalan geopolitik menggunakan kapitalisme, globalisasi perniagaan, dan imperialisme budaya untuk mempengaruhi negara, sebagai ganti sama kawalan tentera ada secara langsung atau kawalan politik secara tidak langsung, seperti imperialisme dan hegemoni.

Parti Libertarian (Amerika Syarikat)

Parti Libertarian (LP) ialah parti politik di Amerika Syarikat yang memperjuangkan politik libertarianisme, termasuk: kebebasan sivik, ketidakpedulian antara negara, kapitalisme laissez-faire dan pengehadan saiz dan rangkuman bidang kuasa kerajaan.

Perjumpaan Kenegeraan Libertarian yang pertama diadakan pada Jun 1972. Pada tahun 1972, "Parti Libertarian" dipilih sebagai nama parti selepas menewaskan pilihan "Parti Kebebasan Baru". Parti Libertarian ditadbir secara demokrasi oleh ahlinya dengan parti bersekutu negara masing-masing mengadakan perjumpaan tahunan atau setiap 2 tahun di mana wakil dipilih untuk menghadirinya. Matlamat parti secara ringkasnya: "Sebagai ahli libertarisme, kami menginginkan dunia bercirikan kebebasan." Calon presiden Libertarian yang pertama, John Hospers, menerima 1 undian pilihan raya pada tahun 1972 apabila Roger MacBride, seorang calon berpaling Republikan Virginia yang telah bersumpah pada Richard Nixon, mengundi Parti Libertarian. Parti Libertarian sudah menempatkan calon presiden untuk pilihan raya di semua 50 negeri, termasuk Washington D.C. 5 kali. Parti Libertarian menyokong kapitalisme laissez-faire dan juga pemansuhan negara kebajikan moden. Perbincangan yang masih ada sehingga kini dirujuk ahli libertarisme sebagai pengelasan anarki-minarki.

Pembubaran Czechoslovakia

Pembubaran Czechoslovakia merujuk kepada peristiwa pemecahan negara Czechoslovakia kepada Republik Czech dan Slovakia yang terjadi pada 1 Januari 1993. Peristiwa ini sering digelar "Velvet Divorce" atau "Penceraian Baldu" dalam bahasa Inggeris dan bahasa yang lain dan merujuk kepada Revolusi Baldu pada 1989 yang mengakibatkan kejatuhan Parti Komunis Czechoslovakia dan penubuhan sebuah pemerintah baru bukan komunis di sana.

Politik

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Sains politik merupakan kajian mengenai tingkah-laku politik dan memeriksa kedapatan dan penggunaan kuasa, contohnya : keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain.

Politik haluan kanan

Dalam pemahaman politik, istilah sayap kanan atau haluan kanan digunakan dalam spektrum politik kiri kanan, dan sepertilah lawannya yang disebut sebagai sayap kiri, sayap kanan jua berbagai-bagai takrifannya. Namun begitu, sayap kanan secara amnya memaksudkan bahagian-bahagian spektrum politik yang sering dikaitkan dengan sesetengah jenis Konservatisme, Tradisionalisme, Sistem pemerintahan beraja, Libertarianisme kanan, Korporatisme, Kanan Keagamaan, Nasionalisme (yang boleh juga berhaluan kiri), Militarisme, Produserisme, Nativisme, Reaksionisme atau pendirian Kanan jauh seperti Sosialisme Kebangsaan dan Fasisme.

Sinclair Lewis

Harry Sinclair Lewis (7 Februari 1885 – 10 Januari 1951) ialah seorang novelis, penulis cerita pendek, dan pengarang drama Amerika. Pada tahun 1930, beliau menjadi penulis pertama dari Amerika Syarikat untuk menerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan, yang telah dianugerahkan "kerana seni lukis dan seni lukisnya yang ketat dan keupayaannya untuk mencipta, dengan kecerdasan dan humor, jenis watak baru." Karya-karyanya terkenal dengan pandangan dan pandangan mereka yang kritis tentang kapitalisme Amerika dan materialisme antara peperangan. Beliau juga dihormati kerana pengkhususan kuatnya terhadap wanita kerja moden. H. L. Mencken menulis kepadanya, "[Sekiranya] ada seorang novelis di kalangan kita dengan panggilan tulen untuk perdagangan ... itu ialah puting beliung berambut merah dari liar Minnesota." Beliau telah diabadikan oleh Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat dengan cap pos dalam siri Great Americans.

Spektrum politik

Spektrum politik ialah sistem pengelasan fahaman politik yang berbeda-beda berdasarkan satu atau lebih paksi geometrik yang mewakili dimensi politik yang berasingan.Spektrum ini diukur dari "sayap kanan" di satu hujung ke "sayap kiri" d satu hujung yang lain (berdasarkan kedudukan puak politik yang bersidang dalam Parlimen Perancis ketika pembentukannya selepas berlakunya Revolusi Perancis dari tahun 1789 sehingga tahun 1799. Fahaman-fahaman komunisme dan sosialisme terletak di sayap kiri manakala konservatisme dan kapitalisme terletak di sebelah kanan. Liberalisme ditakrifkan mengikut konteks yang berbeza-beza, sama ada ke kiri (misalnya liberalisme sosial) atau dalam libertarianisme (liberalisme klasik). Golongan yang berfahaman antara kedua-dua sayap ini dikelaskan dalam ruang sentrisme or moderat.

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.