Ensiklopedia

Ensiklopedia (atau ensaiklopedia) ialah sejenis karya rujukan, sebuah kompendium mengandungi ringkasan maklumat daripada semua cabang ilmu atau secara khusus.[1] Ensiklopedia terbahagi kepada beberapa artikel atau entri, iaitu selalunya tersusun mengikut abjad melalui tajuk artikel. Kemasukan ensiklopedia lebih panjang dan terperinci berbanding kamus-kamus biasa.[2] Umumnya, tidak seperti kemasukan kamus yang hanya fokus kepada maklumat linguistik perkataan, artikel-artikel ensiklopedia bertumpu kepada fakta meliputi isi atau konsep tajuk artikel tersebut.[3]

Terdapat pelbagai jenis ensiklopedia. Ada yang bersifat umum, contohnya Encyclopædia Britannica dalam bahasa Inggeris dan Brockhaus Enzyklopädie dalam bahasa Jerman, dan ada juga yang bersifat khusus untuk sesuatu bidang, sama ada dalam bidang perubatan, falsafah, undang-undang dan lain-lain. Manakala sesetengah ensiklopedia lain pula mungkin condong pada sesuatu pandangan, contohnya Bolshaya Sovetskaya Entsiklopediya.

Persian-encyclopedia
Ensiklopedia Bahasa Parsi

Etimologi

Perkataan ensiklopedia diambil daripada bahasa Greek εγκύκλιος παιδεία, egkyklios paideia; bererti sebuah lingkaran pengajaran (a circle of instruction) yang lengkap. Secara istilahnya, ia bermaksud ensiklopedia itu merupakan sebuah pendidikan sempurna yang merangkumi semua aspek ilmu pengetahuan.

Ensiklopedia seringkali disalah erti sebagai kamus. Mungkin ini kerana ensiklopedia-ensiklopedia awal sememangnya berkembang daripada kamus. Namun, perbezaan utama antara kamus dan ensiklopedia ialah kamus hanya memberikan definisi setiap perkataan dari sudut linguistik dan mungkin juga perkataan sinonim (kata seerti), sedangkan ensiklopedia memberi penjelasan lebih terperinci dan mendalam. Sesebuah ensiklopedia cuba untuk menjelaskan setiap artikel sebagai sebuah fenomena atau perkara.

Sejarah awal ensiklopedia

Walaupun perkataan Ensiklopedia diambil daripada bahasa Yunani, namun ensiklopedia tertua bukanlah berasal dari Yunani tetapi dari zaman kerajaan Rom dan ditulis oleh Marcus Porcius Cato yang hidup pada abad ke-3 dan ke-2 sebelum Masihi. Manakala ensiklopedia tertua yang masih wujud sekarang ialah yang ditulis oleh Pliny Senior pada abad pertama Masihi. Ensiklopedia ini yang berjudul Naturalis Historia mempunyai 37 jilid.

Manakala Maharaja China Cheng-Zu daripada Dinasti Ming telah mengawasi pengumpulan Yongle Dadian (siap pada 1408), ensiklopedia terbesar dalam sejarah, dan mempunyai lebih 11,000 jilid yang ditulis tangan. Namun kini cuma ada 400 jilid sahaja yang masih tinggal. Kemudian semasa Dinasti Qing, Maharaja Qianlong sendiri telah menulis 40,000 sajak, untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi perpustakaan berjumlah 4.7 juta halaman.

Manakala himpunan awal ilmu orang Islam di Zaman Pertengahan merangkumi pelbagai bidang, termasuklah apa yang kini dipanggil kaedah saintifik, kaedah sejarah dan petikan (citation atau isnad). Antara yang ketara ialah ensiklopedia sains ar-Razi, 270 buku-buku al-Kindi dan ensiklopedia perubatan Ibn Sina, yang merupakan rujukan utama buat beberapa abad. Terdapat juga karya sosiologi daripada Ibn Jarir at-Tabari, al-Masudi, Ibn Rustah, Ibn al-Athir, pengikut Ashari, dan Ibn Khaldun. Karya Ibn Khaldun, Muqaddimah mengandungi peringatan mengenai perjanjian bertulis yang masih relevan hingga ke hari ini. Mereka mempunyai pengaruh yang besar, disebabkan oleh penggunaan rangkaian petikan (isnad), yang memastikan kebenaran dan kejituan sumber mereka.

Walau bagaimanapun, boleh dikatakan karya-karya di atas ditulis lebih untuk pakar dalam setiap bidang dan bukannya untuk orang umum.

Sejarah ensiklopedia ketika awal era kemodenan

Ketika awal era kemodenan, istilah ensiklopedia buat pertama kalinya digunakan oleh Paul Scalich, seorang penulis Jerman pada tahun 1559. Kemudian ia dipopularkan oleh ahli falsafah Inggeris Francis Bacon pada awal abad ke-17.

Tetapi makna ensiklopedia seperti yang difahami hari ini cuma wujud apabila Denis Diderot, seorang penulis dan ahli falsafah Perancis menggunakan perkataan ini untuk memberi nama projek yang sedang dikerjakannya. Projeknya yang juga dikatakan projek abad ke-18 ini berlangsung selama 30 tahun, dari tahun 1750 - 1780. Tujuan projeknya ini adalah untuk menulis secara sistematik semua pengetahuan yang diketahui oleh umat manusia.

Dalam bahasa Perancis ensiklopedia Diderot ini dikenali sebagai: Encyclopédie ou Dictionnaire raisonné des sciences, des arts et des métiers. Atau dalam bahasa Melayu "Ensiklopedia atau Kamus mengenai Ilmu Pengetahuan, Seni dan Pekerjaan". Ensiklopedia ini sebenarnya disadur dan ditambah daripada Cyclopaedia terbitan Ephraim Chambers pada tahun 1723.

Manakala Encyclopædia Britannica mula muncul di Scotland pada tahun 1768. Seterusnya pada kurun ke-19, muncullah beberapa lagi ensiklopedia umum di Britain, Eropah dan Amerika, dan kemudian di seluruh dunia.

Ensiklopedia berbahasa Melayu

Di Malaysia, terdapat satu ensiklopedia umum dalam bahasa Melayu, dan beberapa ensiklopedia khas seperti:

  • Ensiklopedia Malaysiana, 15 jilid (terbitan Anzagain) (sudah tidak dijual)
  • Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 5 jilid (terbitan DBP)
  • Ensiklopedia Islam (terbitan DBP) - diadaptasi daripada Ensiklopedi Islam Indonesia
  • Ensiklopedia Sains dan Teknologi, 12 jilid (terbitan bersama UTM-DBP)

Di Indonesia juga sudah terdapat beberapa ensiklopedia, antara yang popular ialah:

  • Ensiklopedi Indonesia, 7 jilid
  • Ensiklopedi Nasional Indonesia, 18 jilid - menggantikan Ensiklopedi Indonesia
  • Ensiklopedi Islam Indonesia, 3 jilid

Ensiklopedia pada masa hadapan

Dengan munculnya revolusi teknologi maklumat, maka muncullah pula ensiklopedia dalam bentuk perisian yang mana setiap perkataan atau hal dapat dicari dengan mudah. Sebuah contoh yang awal ialah Encarta, ensiklopedia keluaran Microsoft.

Pada tahun 2001 muncul pula sebuah ensiklopedia popular di internet yang sangat berjaya iaitu Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas yang boleh disunting sesiapa jua. Wikipedia berusaha menulis sebuah ensiklopedia yang terlengkap dalam hampir semua bahasa di dunia dan menyajikannya secara percuma di dunia maya. Ensiklopedia atas/dalam talian (on-line) ini telah tersaji dalam lebih 200 bahasa, termasuklah bahasa Melayu.

Senarai ensiklopedia

Ensiklopedia cetak terkenal

Ensiklopedia elektronik/internet

  • Komersial
    • Encarta

Rujukan

  1. ^ "Encyclopedia". Diarkibkan daripada asal pada 2007-08-03. Glossary of Library Terms. Riverside City College, Digital Library/Learning Resource Center. Retrieved on: November 17, 2007.
  2. ^ Hartmann, R. R. K.; James, Gregory (1998). Dictionary of Lexicography. Routledge. m/s. 48. ISBN 0-415-14143-5. Dicapai July 27, 2010. Parameter |coauthors= tidak diketahui diabaikan (guna |author=) (bantuan)
  3. ^ Ensiklopedia. Dewan Bahasa dan Pustaka. Capaian 25 Ogos 2012.

Lihat juga

Anime News Network

Anime News Network (ANN) ialah sebuah laman web yang menyediakan berita tentang industri anime, manga, muzik popular Jepun dan perkara-perkara yang berkait rapat dengan budaya otaku di Amerika Utara dan Jepun, meskipun selalunya mereka menyediakan kejadian yang serupa di sekitar Anglosphere dan lain-lain di dunia dari masa ke masa. Laman web tersebut juga menyediakan review dan isi karangan lain (ruangan, blog, artikel-artikel terpilih, temuduga-temuduga, dan sebagainya), dan sebuah ensiklopedia. Ensiklopedia mereka mengandungi sebuah koleksi anime dan manga yang besar dengan maklumat tentang kakitangan Jepun dan Inggeris, lagu-lagu tema, sinopsis dan kadar pengguna.

Anime News Network juga mempunyai sebuah saluran IRC (Internet Relay Chat) di rangkaian WorldIRC, #animenewsnetwork

Arcachon

Arcachon (Arcaishon dalam bahasa Occitan) ialah komun di jabatan Gironde di Aquitaine di barat daya Perancis.

Bahasa Jerman

Bahasa Jerman (Deutsch) adalah bahasa Jermanik Barat. Ia adalah ahli kumpulan Barat dari rumpun Jermanik dari keluarga bahasa Indo-Eropah dan salah satu dari bahasa dunia utama, dituturkan oleh lebih dari 120 juta orang di 38 negara dunia.

Barèges

Barèges ialah komun di jabatan Hautes-Pyrénées di barat-daya Perancis.

Ensiklopedia Britannica

Ensiklopedia Britannica (Encyclopædia Britannica) ialah ensiklopedia am berbahasa Inggeris terbitan Encyclopædia Britannica, Inc., sebuah syarikat persendirian yang terletak di Chicago, AS. Rencana-rencana dalam Britannica disasarkan kepada pembaca dewasa yang berpendidikan, dan dikarang oleh 19 orang penyunting penuh masa dan lebih 4,000 orang penyumbang pakar. Ensiklopedia ini dianggap ramai sebagai yang paling ilmiah di kalangan semua ensiklopedia.Britannica ialah ensiklopedia bahasa Inggeris tertua yang masih wujud dalam percetakan. Brittanica julung kali diterbit antara tahun 1768 dan 1771 di Edinburgh dan pesat berkembang populariti dan saiznya, dengan edisi ketiganya pada tahun 1801 mencecah 20 jilid. Kalibernya yang kian timbul membantunya mencari penyumbang yang sangat mahir, dan edisi kesembilan (1875–1889) dan kesebelasnya (1911) dianggap sebagai ensiklopedia penting untuk gaya cendekiawan dan sastera. Sejak edisi ke-11, Britannica beransur nipis dan meringkaskan rencana-rencananya agar menjadikannya makin dibaca ramai serta meluaskan pasarannya di Amerika Utara. Pada tahun 1933, Britannica menjadi ensiklopedia pertama yang mengamalkan dasar "penyemakan berterusan", iaitu ensiklopedia ini senantiasa dicetak semula dan setiap rencana dikemaskini mengikut jadual tetap.Edisi ke-15 yang terkini mempunyai satu struktur tiga bahagian yang unik: Micropædia 12 jilid yang terdiri daripada rencana-rencana pendek (biasanya kurang daripada 750 kata), Macropædia 17 jilid yang terdiri daripada rencana-rencana panjang (meliputi dua hingga 310 mukasurat) dan Propædia sejilid yang bertujuan memberi garis kasar hierarki pengetahuan insan. Micropædia dimaksudkan untuk penyemakan fakta pantas serta sebagai panduan kepada Macropædia; para pembaca dinasihati agar membaca garis kasar Propædia untuk memahami konteks sesuatu subjek dan untuk mencari rencana lain yang lebih terperinci. Saiz Britannica kekal lebih kurang sama selama 70 tahun lalu, dengan kira-kira 40 juta perkataan dalam separuh juta topik. Meskipun penerbitan bertapak di Amerika Syarikat sejak tahun 1901, namun Britannica sentiasa mengekalkan ejaan British tradisinya.Sepanjang sejarahnya, Britannica menghadapi kesulitan untuk terus untung—satu masalah yang dihadapi banyak ensiklopedia. Sesetengah rencana dalam edisi-edisi awal Britannica yang tertentu telah dikritik kerana tidak tepat, berat sebelah atau ada penyumbang yang tidak layak. Ketepatan sesetengah kandungan edisi terkini juga turut dipersoal, itupun kritikan-kritikan sedemikian juga dicabar oleh pihak pengurusan Britannica. Meskipun kritikan-kritikan ini, namun Britannica mengekalkan nama baiknya sebagai alat kaji selidik yang boleh diharap.

Pada Mac 2012, syarikat Britannica yang kini bertapak di Chicago, mengumumkan pemberhentian edisi cetakan untuk memberikan tumpuan kepada versi dalam talian. Edisi cetakan yang terakhirnya terbit pada tahun 2010, dalam set 32 jilid.

Ensiklopedia Britannica Edisi Ke-11

Ensiklopedia Britannica Edisi Kesebelas (1910–1911) mungkin merupakan edisi Ensiklopedia Britannica yang paling masyhur. Sesetengah rencananya ditulis oleh para cendekiawan yang amat terkenal pada masa itu. Rencana-rencana ini masih menarik dan berguna kepada cendekiawan-cendekiawan moden sebagai artifak budaya pada abad ke-19 dan ke-20. Walau bagaimanapun, ensiklopedia ini menimbulkan sedikit masalah kepada cendekiawan moden yang menggunakan edisi ini sebagai satu sumber. Edisi Kesebelas tidak lagi dilindungi oleh hak cipta dan kini boleh didapati dalam talian, baik dalam bentuk asal mahupun dalam bahagian-bahagian yang telah digabungkan dalam karya-karya dan ensiklopedia-ensiklopedia yang lain dalam talian.

Ideologi

Ideologi merupakan sistem kepercayaan yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang. Pada lazimnya ia merujuk kepada set kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakkan politik dan sosial.

Menurut Ensiklopedia Brittanica, ideologi dimaksudkan sebagai “salah satu item yang membentuk keperluan mental dan jasmani individu yang membentuk sesebuah masyarakat serta meliputi permasalahan politik, sosial, ekonomi dan perkara yang bersangkut paut dengan sejarah dan sosio-geografi manusia”.

Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menafsirkan maksud ideologi adalah “fahaman (ajaran) yang dipakai atau dicita-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain tujuan”.

Pengertian ideologi adalah berbeza pada pandangan tokoh dan sarjana. Berikut adalah sebahagian pengertian ideologi:

Destertt de Tracy :Ideologi adalah pembelajaran terhadap idea-idea (pemikiran tertentu).

Machiavelli:Ideologi adalah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.

Thomas H :Ideologi adalah suatu cara untuk melindungi kekuasaan pemerintah agar dapat bertahan dan mengatur rakyatnya.

Karl Marx :Ideologi merupakan alat untuk mencapai kesamarataan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat.

Muhammad Muhammad Ismail: Ideologi (Mabda’) adalah pemikiran mendasar yang sama sekali tidak dibangun (disandarkan) di atas pemikiran pemikiran yang lain.

Manakala fahaman membawa erti yang berbeza dengan ideologi. Di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga menyebut bahawa fahaman iaitu “pengetahuan, pemikiran, anggapan, pendapat dan kepercayaan seseorang terhadap sesuatu perkara”. Fahaman adalah sebahagian daripada item yang membentuk ideologi.

Perbezaan antara fahaman dan ideologi adalah fahaman hanyalah pemikiran seorang yang menjadi tanggapan semata-mata yang mungkin menjadi atau tidak dalam pegangan masyarakat. Manakala, ideologi adalah gagasan idea yang membentuk pemikiran manusia terhadap sesuatu konsep dan dipegang oleh sebahagian manusia

Knol

Knol adalah projek rujukan dalam talian Google yang mengandungi rencana-rencana yang dikarang oleh pengguna mengenai pelbagai topik. Projek ini diumumkan pada 13 Disember 2007 dan mula dibuka secara beta kepada pengguna awam pada 23 Julai 2008.

MusicBrainz

MusicBrainz ialah suatu projek yang bertujuan mencipta pangkalan data muzik kandungan terbuka. Sama seperti projek freedb, ia telah ditubuhkan sebagai tindak balas pada sekatan yang dikenakan pada CDDB. Walau bagaimanapun, MusicBrainz telah mengembangkan matlamatnya bagi mencapai melampaui gudang metadata cakera padat bagi menjadi pangkalan data dalam talian terbuka berstruktur untuk muzik.MusicBrainz mengumpul maklumat mengenai artis, rakaman karya mereka, dan hubungan antara mereka. Kemasukan rakaman karya mencatatkan sekurang-kurangnya tajuk album, runut tajuk, dan panjang setiap runut. Kemasukan ini dikekalkan oleh penyunting sukarelawan yang mematuhi garis gaya panduan bertulis komuniti. Karya yang dicatatkan boleh menyimpan maklumat tambahan mengenai tarikh keluaran dan negara, ID CD, seni pada kulit/penutup, cap jari akustik, teks anotasi bebas bentuk dan metadata yang lain. Sehingga 3 Oktober, 2013, MusicBrainz mengandungi maklumat mengenai secara kasar 800,000 artis, 1.2 juta siaran, dan 13 juta rakaman.

Nupedia

Nupedia ialah sebuah ensiklopedia berdasarkan web yang mengandungi rencana-rencana yang ditulis oleh pakar-pakar dan dilesenkan di bawah kandungan bebas. Ia diasaskan oleh Jimmy Wales melalui syarikatnya, Bomis, sedangkan Larry Sanger merupakan ketua penyuntingnya. Nupedia berlanjutan dari Mac 2000 sehingga September 2003, dan kini lebih dikenali sebagai pendahulu Wikipedia. Ensiklopedia dalam talian ini dicirikan oleh proses penilaian setara yang luas untuk memastikan bahawa mutu rencana-rencananya adalah setanding dengan ensiklopedia-ensiklopedia yang profesional.

Nupedia cuma hendak cendekiawan-cendekiawan bersukarela tidak berbayar untuk menyumbang kandungan-kandungannya. Sebelum ia bertamat operasinya, Nupedia menghasilkan 25 buah rencana yang telah siap proses penilaiannya (tiga buah rencana mempunyai dua versi dengan panjangnya yang berbeza) dan 74 buah rencana yang masih berlangsung.

Projek ensiklopedia internet

Idea untuk membina sebuah ensiklopedia bebas dengan menggunakan Internet boleh dijejaki balik ke sekurang-kurangnya cadangan Interpedia 1993; cadangan ini adalah untuk membina sebuah ensiklopedia dalam Internet yang semua orang boleh menyumbang. Project ini tidak pernah meninggalkan peringkat rancangan dan diseberangi oleh kepesatan World Wide Web, kemunculan engine gelintar bermutu tinggi, dan pertukaran bahan sedia ada.

Wikipedia

Wikipedia (tulisan Jawi:ويكيڤيديا) ialah sebuah ensiklopedia yang boleh diubah suai dan dibina secara kerjasama dengan menggunakan perisian wiki. Wikipedia dikendalikan oleh Yayasan Wikimedia yang tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada khidmat yang diberikan. Sebagai tambahan kepada matlamat ensiklopedia iaitu untuk memberikan pengetahuan, Wikipedia juga memasukkan maklumat yang lebih kerap dikaitkan dengan almanak dan jurnal, dan juga perkara semasa. Kandungan Wikipedia dibina sepenuhnya oleh para penggunanya. Tidak ada seorang pun yang dapat memiliki maklumat yang terdapat dalamnya dan tidak ada rencana yang akan ditamatkan. Satu lesen yang dikenali GFDL telah dicipta untuk memastikan setiap orang mengakui bahawa setiap orang mempunyai hak untuk memperbaiki setiap rencana.

Wikipedia berkandungan terbuka, bermaksud ia boleh digunakan secara bebas, boleh disunting secara bebas, dan bebas untuk disalin dan disebarkan. Ringkasnya, Wikipedia ialah kerja keras yang unik yang tidak wujud dalam ensiklopedia tradisional. Ia mempunyai sistem baik pulih sendiri dalam perjalanannya melalui cabaran-cabaran ini.Wikipedia bermula sebagai projek Bahasa Inggeris pada 15 Januari 2001, dan kemudiannya mendapat bahasa lainnya yang pertama, Perancis, pada 23 Mac 2001. Wikipedia bahasa Melayu pula bermula pada 28 Januari 2003. Terdapat banyak usaha yang telah terlibat untuk membuatkannya berbilang bahasa, dan pada masa ini ia telah mengandungi lebih 18 juta rencana dan lebih 4 juta ialah rencana dalam bahasa Inggeris.

Wikipedia Bahasa Kreol Haiti

Wikipedia Bahasa Kreol Haiti merupakan ensiklopedia versi berbahasa Kreol Haiti yang dijalankan oleh Yayasan Wikimedia. Wikipedia ini mula beroperasi sejak bulan Ogos 2004. Pada bulan Mei 2011, Wikipedia ini mempunyai lebih daripada 53,000 rencana.

Wikipedia Bahasa Lithuania

Wikipedia bahasa Lithuania merupakan sebuah Wikipedia yang diterbitkan dalam versi bahasa Lithuania. Ini adalah ensiklopedia online terbesar di Lituania. Wikipedia bahasa Lithuania telah dilancarkan pada tahun 2003, namun baru mendapatkan jumlah pengesahan pada tahun 2004. Pada 14 Disember 2005, Wikipedia bahasa Lithuania telah mencapai sebanyak 10,000 rencana, dan pada 26 Februari 2006 mencapai 40,000 rencana. Wikipedia bahasa Lituania mencapai 50,000 rencana pada 1 Ogos 2007 dan 100,000 rencana dicapai pada 18 Januari 2010.

Wikipedia Bahasa Melayu

Wikipedia Bahasa Melayu (jawi: ويکيڤيديا بهاس ملايو), sering kali disingkatkan sebagai mswiki, ialah versi bahasa Melayu ensiklopedIa bebas dalam talian, Wikipedia. Ketika ini terdapat 329,195 buah rencana di Wikipedia bahasa Melayu dan berada dalam kedudukan ke-29 untuk Wikipedia terbesar secara keseluruhannya. Asas penciptaan, pembangunan dan pentadbiran sehari-harian Wikipedia Bahasa Melayu adalah menuruti ketetapan perlembagaan dalam Wikipedia:Dasar dan garis panduan.

Wikipedia Bahasa Tagalog

Wikipedia Bahasa Tagalog merupakan ensiklopedia versi berbahasa Tagalog yang dijalankan olah Yayasan Wikimedia. Wikipedia Bahasa Tagalog mula beroperasi sejak bulan Disember 2003, dan telah mempunyai lebih daripada 50,000 rencana sejak 3 Februari 2011.

Wikipedia bahasa Cina

Wikipedia Bahasa Cina (中文維基百科/中文维基百科) merupakan edisi Bahasa Cina Wikipedia, diusahakan oleh Yayasan Wikimedia. Wikipedia Bahasa Cina mempunyai lebih daripada 150,000 buah rencana pada Oktober 23, 2007.

Tapak web ini pernah disekat oleh Republik Rakyat China pada beberap waktu tertentu.Wikipedia bahasa cina juga adalah ensiklopedia ketiga terbesar dalam ensiklopedia atas talian dalam bahasa cina.

Wikipedia bahasa Ibrani

Hebrew Wikipedia (Bahasa Ibrani: ויקיפדיה: האנציקלופדיה החופשית‎; IPA: [wikiˈpedia haʔentsikloˈpedia haχofˈʃit]) merupakan edisi Bahasa Ibrani Wikipedia. Edisi ini bermula pada Julai 2003.

Wikipedia bahasa Inggeris

Wikipedia Bahasa Inggeris merupakan edisi Bahasa Inggeris ensiklopedia Wikipedia. Diasaskan pada 15 Januari 2001 dan mendekati 2 juta buah rencana pada September 2007, Wikipedia Bahasa Inggeris merupakan edisi Wikipedia yang pertama dan kekal sebagai yang terbesar, dengan lebih daripada empat kali ganda Wikipedia yang kedua terbesar, iaitu Wikipedia Bahasa Jerman. Pada tahun 2007, kira-kira satu perempat daripada rencana-rencana di semua Wikipedia adalah kepunyaan edisi Bahasa Inggeris.

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.