Boedi Oetomo

Budi Utomo (Ejaan Republik: Boedi Oetomo) ialah pergerakan politik watan pertama di Hindia Timur Belanda. Pertubuhan ini dianggap sangat berpengaruh dalam pembangunan kebangsaan Indonesia.

Sejarah

Budi Utomo diasaskan pada 20 Mei 1908. Pengasas Budi Utomo seorang doktor pesara kerajaan yang berasa bahawa para golongan cerdik pandai tempatan seharusnya memperbaiki keadaan orang ramai dari segi pendidikan dan kebudayaan.[1] Persatuan ini mengadakan kongres pertamanya pada bulan Mei 1908.[2] Kongres merupakan penghimpunan para penuntut di Betawi. Ketua pertama persatuan ini ialah Dr Wahidin Soedirohoesodo, tetapi beliau mengundurkan diri pada penghimpunan besar pertama persatuan di Jogjakarta pada bulan Oktober 1908, untuk memberi laluan kepada golongan lebih muda.

Pihak Belanda bersikap toleran terhadap kebangkitan dan pembangunan kebangsaan Indonesia. Budi Utomo tidak memiliki tarikan besar-besaran dan Belanda menganggap kegiatan-kegiatan nasionalisme pada dekad pertama abad ke-20 sebagai hasil biasa Dasar Etika yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat biasa.

Keahlian Budi Utomo terdiri daripada ahli masyarakt berkedudukan tinggi, pegawai kerajaan dan para cendekiawan, yang terbatas pada pulau Jawa dan orang Jawa. Peningkatan tahap pendidikan menjadi tumpuan utama persatuan. Hanya sebilangan kecil cabang persatuan yang mengembangkan kegiatan ke dalam kegiatan komersial dan perindustrian orang tempatan. Tjipto Mangoenkoesoemo, yang kemudiannya akan menjadi pengasas Indische Party (Parti Indo), persatuan yang lebih radikal dan parti politik pertama di Hindia Timur Belanda, mengembangkan skop Budi Utomo untuk merangkumi orang biasa dan juga untuk memperluaskan sayap persatuan kepada kesemua Hindi di luar Jawa.[3] Persatuan mengalami pertumbuhan yang cepat; pada tahun 1910 persatuan memiliki 10,000 orang ahli dalam 40 cabang,[2] dan pada masa yang sama ia juga mendapat pengiktirafan rasmi kerajaan kolonial.

Rujukan

  1. ^ Vickers, Adrian. 2005. A History of Modern Indonesia, Cambridge, UK: Cambridge University Press, p. 73
  2. ^ a b cf. Vandenbosch (1931).
  3. ^ Indïes atau Hindi ialah kata popular yang digubal kerajaan Belanda Hindia Timur untuk merujuk kepada penduduk Hindia Timur Belanda.

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.

Amir Hamzah

Tengku Amir Hamzah Pangeran Indera Putera (Tulisan Jawi: تڠكو أمير حمزه ڤڠيرن ايندرا ڤوترا; 28 Februari 1911 – 20 Mac 1946), lebih dikenali sebagai Amir Hamzah, ialah seorang pemuisi dan juga seorang Pahlawan Kebangsaan Indonesia. Beliau dilahirkan di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Timur. Anak kelahiran sebuah keluarga bangsawan Kesultanan Langkat di Sumatera Utara, beliau mendapat pendidikan di Sumatera dan Pulau Jawa. Amir terlibat dengan pergerakan nasionalis Indonesia semasa beliau belajar di sekolah menengah atas di Surakarta sekitar tahun 1930-an. Beliau jatuh cinta dengan rakan sekolah berbangsa Jawa, Ilik Sundari. Kedua-dua rakan ini kekal rapat mahupun selepas Amir menamatkan pendidikannya di sekolah perundangan di Betawi (sekarang Jakarta). Mereka hanya berpisah dalam tahun 1937 apabila Amir dipanggil pulang ke Sumatera untuk mengahwini puteri Sultan dan menggalas tugas dan tanggungjawab di istana – Amir tetap menjalankan tugasnya mahupun tidak berasa gembira dengan perkahwinannya. Beliau bertugas sebagai wakil pemerintah di Langkat selepas pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1945. Beliau terbunuh dalam tahun berikutnya semasa sebuah revolusi sosial yang diketuai Parti Komunis Indonesia dan disemadikan di dalam kubur ramai.

Amir mula menulis puisi pada usia belasan tahun: mahupun karya-karyanya tidak bertarikh, dipercayai karyanya yang paling awal ditulis semasa beliau mula-mula berkunjung ke pulau Jawa. Dengan berbekalkan pengaruh kebudayaan Melayu dan Islamnya, dan juga pengaruh Kristian dan kesusasteraan Timur, Amir menghasilkan 50 buah puisi, 18 buah prosa lirik, dan pelbagai karya lain, termasuk beberapa buah terjemahan. Dalam tahun 1932, beliau menjadi pengasas bersama majalah sastera Poedjangga Baroe. Beliau berhenti berkarya selepas pulang ke Sumatera. Kebanyakan puisinya diterbitkan dalam dua himpunan, Nyanyi Sunyi (1937) dan Buah Rindu (1941), mula-mula dalam majalah Poedjangga Baroe dan kemudiannya sebagai buku berasingan.

Puisi-puisi yang dikaryakan Amir berkaitan dengan tema-tema kasih dan agama, dan puisinya sering membayangkan konflik dalaman yang amat sangat. Diksinya, dengan penggunaan perkataan bahasa-bahasa Melayu dan Jawa di samping pengembangan struktur-struktur tradisional, dipengaruhi keperluan untuk memuatkan irama dan matra, dan juga simbolisme yang terkait dengan perkataan-perkataan tertentu. Karya-karya awalnya berkaitan dengan perasaan rindu dan juga cinta unggul dan erotik, sementara karya terkemudian memiliki maksud agama yang lebih mendalam. Antara dua himpunan karyanya, Nyanyi Sunyi dianggap sebagai lebih terbina. Amir diberi gelaran "Raja Pemuisi era Poedjangga Baroe" dan beliau satu-satunya pemuisi Indonesia bertaraf antarabangsa sebelum Revolusi Kemerdekaan Indonesia.

Balai Pustaka

Balai Pustaka (juga dieja Balai Poestaka) ialah penerbit milik negara Indonesia dan penerbit utama kesusasteraan Indonesia seperti Salah Asuhan, Sitti Nurbaya dan Layar Terkembang. Ibu pejabatnya berada di Jakarta.Ditubuhkan pada tahun 1917 sebagai Kantoor voor de Volkslectuur, Balai Pustaka digunakan oleh kerajaan penjajah Belanda sebagai alat untuk mengawal capaian pengetahuan orang Indonesia. Selepas menukar tangan dua kali semasa perang kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka secara rasmi jatuh di bawah pemilikan kerajaan Indonesia. Sehingga 2011, ia menghadapi pembubaran.

Chairul Tanjung

Chairul Tanjung (lahir di Jakarta, 16 Jun 1962) adalah konglomerat asal Indonesia. Beliau menjadi Menteri Ekonomi menggantikan Hatta Rajasa sejak 19 Mei 2014. Syarikat beliau ialah Para Group. Beliau turut menguasai Trans TV, Trans7 dan Bank Mega dan banyak lagi. Chairul mula berniaga sejak di kuliah Fakulti Pergigian, Universiti Indonesia.

Dalam bahasa lain

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.