Audi Mok

Audi Mok ialah seorang penggubah dan penerbit muzik Malaysia yang terkenal kerana menghasilkan karya-karya untuk penyanyi Malaysia, baik bintang terkemuka seperti Siti Nurhaliza, mahupun hasil pertandingan TV realiti seperti Akademi Fantasia dan One in a Million, khususnya menggubah lagu baru untuk para finalis menjelang malam kemuncak rancangan berkenaan, seperti Berdiri nyanyian Suki Low dan Mahakarya Cinta oleh Faizal Tahir.

Audi Mok
KelahiranMelaka, Malaysia
WarganegaraMalaysia
PekerjaanPemuzik, penggubah, penerbit muzik

Biografi

Menurut keterangan dalam blognya, Audi Mok membesar di Melaka, dalam rumah tangga yang diriuhkan muzik dendangan ibunya. Dipengaruhi Howard Jones dan Chick Corea, beliau mengidam-idamkan papan nada sejak dalam Tingkatan 3. Ketika mencecah Tingkatan 5 barulah beliau dihadiahkan sebuah papan nada Roland D-20 oleh ibu bapanya. Bermula dengan mencuba lagu-lagu R&B terkenal ketika itu, beliau beransur-ansur mengasah bakat mencipta muzik sendirinya.[1]

Sebagai langkah pertama merealisasikan cita-cita, Audi menelefon pejabat EMI Malaysia untuk berhubung dengan kumpulan Freedom agar mereka mendendangkan sebuah lagu ciptaan beliau. Wanita yang mengangkat telefon di EMI memesan beliau agar menghubungi Shuib, penyanyi utama kumpulan itu. Audi terserempak dengan iklan kumpulan Freedom membuat persembahan di Piccadilly's, sebuah kelab malam di Petaling Jaya. Maka beliau menghubungi tempat itu dan akhirnya menghubungi Shuib, tetapi dimintanya agar berjumpa dengan Fauzi Marzuki, penerbit album kumpulan berkenaan ketika itu.[1]

Tidak lama kemudian, keluarnya album Hijau oleh Zainal Abidin. Maka Audi cuba menghubungi Mac Chew, penerbit album tersebut, dan menghantar berbilang demo kepada Mac Chew, yang seterusnya menyerahkan demo-demo tersebut ke Roslan Aziz. Akhirnya, Roslan menerima kemasukan Audi ke syarikat penerbitan muzik Music Works, maka berpindahlah Audi ke Kuala Lumpur pada tahun 1990. Itupun tidak kekal lama, setelah lima buah lagu berjaya dirakam, Audi kembali menuntut ilmu di luar negara.[1]

Pada tahun 1996, sekembalinya di Malaysia, Audi dijemput kembali oleh Music Works untuk menghasilkan sebuah lagu untuk Atilia bertajuk Pelangi Mimpi. Pada tahun berikutnya, beliau bertemu dengan Sam dari Innuendo yang mengesyorkan Ahmad Izham Omar, ketua syarikat Positive Tone, kepada beliau. Audi mengakui Izham sebagai orang yang betul-betul melancarkan kerjaya beliau.

Pada awal 2000-an, Audi Mok menyertai Fuse, sebuah syarikat rakaman muzik iklan dan pengurusan artis rakaman pimpinan Colin Pereira, selepas perniagaan sebelumnya menemui jalan buntu. Sepanjang tiga tahun di sana, beliau menghasilkan hampir seratus hasil lagu iklan untuk jenama-jenama seperti Celcom dan Malaysia Airlines, termasuklah pertama kali merakam bakat-bakat muzik seperti Steve Thornton, Orkestra Filharmonik Malaysia, Jaclyn Victor (yang ketika itu masih belum terkenal) dan juga seorang penyanyi Eropah Timur.[2]

Selain itu, beliau turut melibatkan diri dalam penghasilan lagu Shahila, Nurfatima dan Vince Chong. Beliau mengaku dalam blognya itu bahawa Cinta Datang Lagi nyanyian Dina merupakan lagu ciptaan beliau pertama yang menarik perhatian orang, tetapi kurang disambut baik; diikuti Generasiku dendangan kumpulan OAG, itupun tiada yang menyangka beliaulah penciptanya; akhirnya Caramu nyanyian Nikki dan Zahid "membuka pintu".[1]

Pada Jun 2006, Audi bersua dengan Pereira sekali lagi untuk meluahkan azam beliau untuk memperbaharui muzik bahasa Melayu Malaysia yang dicabar hebat oleh kedatangan muzik Indonesia. Lebih setahun kemudian, beliau menjadi sebahagian daripada Satu Music Entertainment di mana beliau meneruskan perjuangan melahirkan nafas segar dalam industri muzik Malaysia.[2]

Pada 27 Jun 2009, Audi berkahwin dengan penyanyi Nicolette Palikat di Gereja St Francis Xavier, Petaling Jaya.[3] Mereka melahirkan anak pertama, seorang lelaki, pada 27 Oktober 2010.

Rujukan

  1. ^ a b c d "How It All Started..." 2007-05-20. Dicapai 2008-06-19.
  2. ^ a b "The Reluctant Music Label Executive". 2007-09-13. Dicapai 2008-06-20.
  3. ^ Li Ee Kee (27 Jun 2009). "Audi-Nikki Sah Suami Isteri". gua.com.my. Dicapai 27 Jun 2009.

Pautan luar

Aku.Muzik.Kamu (album)

Aku.Muzik.Kamu merupakan album sulung Faizal Tahir. Album ini keluar di pasaran sejak 22 November 2007, dengan menampilkan 13 runut lagu gubahan sendiri beliau bersama Audi Mok, Kuncidemak, Omar K, Aubrey Suwito, Tessh RS, dan Ahmad Izham Omar, termasuk versi orkestra Mahakarya Cinta, dan single asli pertama dari album ini, Batu & Golek (iaitu terjemahan bagi ungkapan "Rock n' Roll"). Album Aku.Muzik.Kamu diterbit oleh Monkey Bone Records yang diketuai Ahmad Izham Omar, juga ketua operasi 8TV.

Selepas empat bulan di pasaran, Aku.Muzik.Kamu dilaporkan mencecah jualan 10,000 ribu unit, meskipun reputasi Faizal tercalar kerana melanggar peraturan adab televisyen dengan membuka baju apabila membuat persembahan bersiaran langsung di konsert ulang tahun 8TV Januari lalu yang menyebabkan beliau dilarang muncul di kaca TV selama tiga bulan.

Album Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik

Album Pop Terbaik adalah salah satu kategori yang dipertandingkan menerusi Anugerah Industri Muzik di mana berbentuk trofi mikrofon yang diberikan kepada pasukan produksi rakaman album bergenre pop terbitan rakyat Malaysia yang mencapai merit dan kualiti dalam industri rakaman. Ia disampaikan kepada penerbit dan artis rakaman secara konsisten sejak 1994 hingga 2009 . AIM dianjurkan oleh Recording Industry Malaysia (RIM) dan Persatuan Industri Muzik Malaysia (PAIMM).

Amarah (lagu)

"Amarah" ialah single pertama dari album duet CTKD oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti. Lagu ini digubah oleh Audi Mok, bersama Siti sendiri sebagai penulis seni katanya.

Lagu ini dimuatkan dalam album CTKD dalam dua versi, iaitu versi bersuara (runut #4) dan versi karaoke/minus-one (runut #8).

Bencinta (lagu)

Bencinta ialah lagu gubahan Audi Mok yang merupakan single pertama dari album kedua nyanyian Faizal Tahir, Adrenalin, yang dikeluarkan pada tahun 2009.

CTKD

CTKD ialah album duet Datuk Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Krisdayanti dari Indonesia. CTKD ialah singkatan untuk Canda, Tangis, Ketawa, Duka, dan juga singkatan nama CT (Siti) dan KD (Krisdayanti). Album ini keluar pada 28 Disember 2009.

Dayang 20 07

Dayang 20 07 ialah judul album studio keenam penyanyi R&B Malaysia, Dayang Nurfaizah yang dipasarkan pada 21 Julai 2007.

Hadiah Daripada Hati

Hadiah Daripada Hati ialah album studio ke-12 Datuk Siti Nurhaliza yang memuatkan 11 buah lagu ciptaan dari komposer Malaysia dan Indonesia. Album ini dilancarkan pada 10 Disember 2007. Hadiah Daripada Hati juga merupakan album studio Siti yang kedua diterbitkan oleh syarikat beliau sendiri, Siti Nurhaliza Productions. Album ini telah terjual melebihi 15,000 unit.

Antara yang terlibat dalam pembikinan album ini ialah Audi Mok, Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Pongky, Cynthia, Taufik, Fahmi dan Dick Lee. Single pertama adalah Ku Mahu, dan single kedua adalah Melawan Kesepian ciptaan Pongky.

Hoore! Hoore! (album)

Hoore! Hoore! merupakan album runut bunyi bagi filem ‘‘Hoore! Hoore!’’ yang menampilkan nyanyian pelbagai artis termasuk Akim, Nurfarah Nazirah, Adibah Noor, Harun Salim Bachik dan ramai lagi. Album ini merupakan terbitan bersama daripada pihak Warner Music (Malaysia) dan Astro. Selain itu, album ini juga memuatkan 13 buah lagu yang diambil daripada filem muzikal tersebut dengan menggunakan rangkaian lagu-lagu popular oleh Sudirman Haji Arshad. Sebuah lagu baru yang berjudul ‘Idola’ telah dicipta khas oleh Audi Mok dan dinyanyikan oleh kumpulan Azlan & The Typewriter. Lagu-lagu di dalam album ini juga telah digubah semula dengan penglibatan komposer, Audi Mok. Album ini telah dikeluarkan pada tahun 2012.

Ku Mahu

Ku Mahu merupakan single pertama album Hadiah Daripada Hati dan merupakan lagu pertama ciptaan Audi Mok buat Siti Nurhaliza. Rakaman lagu ini dijalankan pada 3 September 2007 dan lagu ini dirakamkan atas permintaan Zaiton Mohamad Jiwa, kakak ipar beliau untuk dijadikan lagu tema untuk sebuah drama bersiri, Spa Q.

Ku Percaya Ada Cinta

"Ku Percaya Ada Cinta" ialah single dari album Tahajjud Cinta oleh Datuk Siti Nurhaliza. Lagu ini digubah oleh Audi Mok, bersama Habsah Hassan sebagai penulis seni katanya.

Lagu ini menerima pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) yang mana kemudiannya menyaksikan Dato' Siti Nurhaliza sekali lagi mengungguli kategori ini untuk kali ke sebelas.

Lagu Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik

Lagu Rock Terbaik adalah salah satu kategori yang dipertandingkan menerusi Anugerah Industri Muzik di mana berbentuk trofi mikrofon yang diberikan kepada penulis lagu dan lirik bergenre rock terbitan rakyat Malaysia yang mencapai merit dan kualiti dalam industri rakaman. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2008 bagi memastikan kelangsungan penerbitan lagu mengukut genre ekoran kemerosotan penerbitan album penuh secara bergenre. AIM dianjurkan oleh Recording Industry Malaysia (RIM) dan Persatuan Industri Muzik Malaysia (PAIMM).

Sayang

Sayang mungkin bermaksud:

Cinta - Perasaan

Filem Sayang - Filem Malaysia tahun 1987

Album Sayang - Album Hetty Koes Endang

Separuh Akhir Muzik Muzik 26

Separuh Akhir Muzik Muzik 26 ialah sebuah program televisyen yang ditayangkan di TV3 sebagai sebahagian daripada proses penentuan juara dalam program mingguan Muzik Muzik di mana ia diadakan selama tiga pusingan bagi menentukan lagu mana yang layak bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-26.

This page is based on a Wikipedia article written by authors (here).
Text is available under the CC BY-SA 3.0 license; additional terms may apply.
Images, videos and audio are available under their respective licenses.